Polis Sabah rampas syabu, ganja bernilai RM1.6 juta dalam 6 kes berasingan

Jauteh menunjukkan syabu yang dirampas dalam enam kes berasingan di sekitar Sabah.
Jauteh menunjukkan syabu yang dirampas dalam enam kes berasingan di sekitar Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan ganja bernilai hampir RM1.6 juta menerusi enam kes berasingan di sekitar negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dadah seberat 48 kilogram (kg) dirampas hasil beberapa tangkapan yang dilakukan sejak Khamis hingga Isnin lalu.

“Rampasan pertama melibatkan syabu seberat 46.4 kg yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.4 juta, dirampas di tepi jalan Kampung Air, Semporna pada jam 6.30 pagi, Ahad lalu.

“Dalam kejadian itu, anggota MPV menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilihat mencurigakan kerana membawa empat kotak besar berwarna coklat menggunakan kereta sorong.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi 45 bungkusan syabu yang dianggarkan mampu menampung kira-kira 350,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.

Menurutnya, suspek merupakan penganggur warga Filipina dan kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

“Hasil siasatan awal mendapati dadah itu dibawa dari Kota Kinabalu menggunakan pengangkutan awam dan dipercayai sebahagian besar daripadanya akan diseludup ke negara jiran melalui laluan laut.

“Susulan tangkapan itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah atas air di Pulau Denawan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Jauteh memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan bersama sembilan paket ketulan mampat berisi daun kering disyaki ganja seberat 1,067 gram, bernilai RM3,500, di kawasan terminal kereta sewa Bandaran, di sini, pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

“Tangkapan susulan turut dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditemui memiliki dadah sama seberat 3.52 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kepayan,” katanya.

Tambah beliau, kes ketiga dan keempat masing-masing melibatkan serbuan di Taman BPL, Jalan Penampang pada Jumaat, dan Taman Kingfisher Sulaman pada Sabtu.

“Tangkapan melibatkan lelaki berusia 40 dan 31 tahun dengan jumlah rampasan 139.9 gram ganja. Manakala dalam kes keempat, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan dengan 24.17 gram ganja,” ujarnya.

Sementara itu, kes kelima dan keenam melibatkan rampasan syabu seberat 1.01 kg bernilai RM32,000, dan 591 gram syabu bernilai kira-kira RM1,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.

Ringkasan AI

  • Polis Sabah mematahkan aktiviti pengedaran dadah bernilai hampir RM1.6 juta
  • Dadah seberat 48 kilogram dirampas dalam enam kes berasingan
  • Syabu seberat 46.4 kg dan ganja seberat 139.9 gram merupakan sebahagian dari rampasan
  • Seorang penganggur warga Filipina ditahan sebagai suspek utama
  • Rampasan lain termasuk syabu seberat 1.01 kg dan 591 gram dalam dua serbuan berasingan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!