Kanak-kanak lelaki ditemukan maut dalam kolam takungan

KULAI – [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh ke dalam kolam takungan ketika sedang memancing di Jalan Budiman, Kampung Melayu Kulai, di sini, pada Rabu.
Mangsa, Esikandar Putra Rohaizad merupakan anak yatim berdaftar di Pertubuhan Kebajikan & Perlindungan Anak Yatim Islam Johor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I, Awang Adzwan Awang berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 10.17 pagi.
Jelasnya, operasi berkenaan membabitkan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati seorang mangsa kanak kanak lelaki telah terjatuh ke dalam kolam takungan.
"PKO bertindak menjalankan operasi menyelamat menggunakan tali dan stretcher bagi membawa mangsa keluar dari kolam tersebut," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.
Tambahnya, operasi tersebut selesai jam 11.25 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

