MCMC digesa segera laksana piawaian keselamatan rangkaian - Jasanusa

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa melaksanakan piawaian keselamatan rangkaian kepada syarikat telekomunikasi (telco) bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian (scammer) yang tidak berkesudahan.
Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa), Samsudin Awang berkata, penjenayah sentiasa mencipta inovasi baharu dengan pihak polis hampir setiap hari melaporkan pelbagai modus operandi sindiket yang mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Menurutnya, syarikat telco wajib melaksana pencegahan awal dengan menyekat panggilan palsu yang sudah boleh dikesan melalui rekod-rekod lampau talian telefon terlibat.
"Penggunaan identiti palsu pemanggil (caller ID) masih berleluasa sehingga ke tahap menggunakan identiti talian jabatan kerajaan dan pihak berkuasa yang mana ia sangat jelas melanggar piawaian perkhidmatan telekomunikasi, namun masih tiada sekatan dikenakan akibat gejala itu.
"Fungsi penapisan rangkaian perlu diwajibkan ke atas semua telco sekiranya mereka ingin meneruskan perniagaan mereka membekalkan perkhidmatan telekomunikasi kepada masyarakat.
"Adalah tidak munasabah sebagai sebuah entiti perniagaan yang sepatutnya menjaga keselamatan pelanggan, tetapi mereka seolah-olah menjual produk yang bertujuan menganiayai pelanggan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Samsudin turut mempersoalkan kegagalan MCMC mewajibkan pelaksanaan teknologi 'antispoofing' secara menyeluruh seperti mana Singapura menerusi Infocomm Media Development Authority (IMDA).
"Kegagalan ini menjadikan MCMC dilihat oleh masyarakat sebagai lebih bersifat reaktif, defensif dan hanya fokus kepada pengiraan statistik kes atau jumlah kerugian sahaja.
"Sedangkan masyarakat terus menanggung impak sehingga tahap psikologi akibat kerugian kewangan yang berjumlah tinggi," ujarnya.
Jelas beliau lagi, syarikat telco tidak boleh ‘lepas tangan’ dalam soal kerugian pelanggan berikutan tanggungjawab keselamatan terhadap produk telekomunikasi yang mereka sediakan itu tidak wajar dipindahkan kepada pengguna.
"Ketika syarikat telco mengaut keuntungan berjuta ringgit dalam perniagaan mereka, sepatutnya mereka wajib membelanjakan sebahagian dari keuntungan itu untuk keterjaminan keselamatan pelanggan samada dari aspek kecurian data peribadi mahupun menyekat kemasukan panggilan dari Caller ID palsu.
"Alasan pihak telco bahawa ‘pengguna cuai’ atau ‘tidak peka dengan kaedah terkini scammer' adalah naratif yang perlu ditolak dan disebabkan itu, mereka masih terus selesa menggunakan alasan tersebut kerana belum ada lagi hukuman dikenakan akibat jenayah scammer terhadap pelanggan mereka," katanya.
Samsudin berpandangan bahawa kegagalan pihak berkuasa menangani isu scammer bukanlah akibat kelemahan teknologi sebaliknya MCMC dilihat 'memberi muka' kepada telco.
"Sewajarnya MCMC perlu segera melaksanakan piawaian keselamatan rangkaian agar rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap sistem telekomunikasi negara dan seterusnya mencemarkan imej Kementerian Komunikasi.
"Krisis ini juga akan menyebabkan masyakarat antarabangsa khususnya pelabur asing tidak yakin dengan prasarana telekomunikasi negara kerana transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian sudah menjadi keperluan wajib dalam semua industri ketika ini," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, ancaman moden termasuk keselamatan digital, integiriti maklumat serta teknologi 'deepfake' berpotensi membuka ruang kepada penipuan dan menggugat kestabilan sosial.
Titah baginda, ancaman tersebut menuntut tindakan tegas dan menyeluruh melalui penggubalan undang-undang keselamatan negara yang berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
