Dua bersaudara mengaku bersalah curi kabel syarikat telekomunikasi

Dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Selasa.
Dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Selasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Dua bersaudara mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi di Rembau yang videonya tular hujung Ogos lalu.

Tertuduh, Mohd Rahmat Kamarudin, 34, dan Muhammad Danish Haizaq Hasrulnizam, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri kabel sepanjang 30 meter milik Telekom Malaysia di tepi Jalan Kampung Miku Pindah, Rembau, pada 28 Ogos 2025 sekitar jam 7.15 pagi.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan dan Mohd Rahmat memberitahu dia mempunyai tanggungan anak, manakala Muhammad Danish memohon jaminan diringankan kerana hanya bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi serta menetapkan 12 September 2025 untuk sebutan semula kes bagi penyampaian fakta dan hukuman.

Sementara itu, Mohd Rahmat turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis ketika sedang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 29 Ogos 2025, jam 3.40 pagi di Jalan Astana Raja, Rembau.

Bagi pertuduhan tersebut, Mohd Rahmat didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes turut ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 September 2025 bagi penyampaian fakta dan hukuman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!