'Anak Kampung Baru Cina mampu kuasai bahasa Melayu' - Kor Ming

Nga Kor Ming. Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Nga Kor Ming. Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kanak-kanak yang membesar di Kampung Baru Cina mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang dalam bidang akademik, meskipun belajar di sekolah aliran Cina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia kerana keupayaan menguasai bahasa kebangsaan tidak wajar dibataskan dengan latar belakang pendidikan atau lokasi penempatan.

“Untuk makluman, saya seorang anak Kampung Baru Cina. Saya memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Jadi terbukti bahawa anak-anak Kampung Baru Cina tidak kurang hebatnya menguasai bahasa Melayu. Kami fasih bertutur dan boleh mengarang pantun, walaupun bersekolah di sekolah aliran Cina," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Perikatan Nasional-Maran) berhubung usaha kerajaan mempromosikan penggunaan bahasa Melayu di Kampung Baru, yang mana terdapat penduduk masih tidak menguasai bahasa berkenaan.

Ujar Kor Ming, kepelbagaian aliran sistem pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembentukan perpaduan kebangsaan sekiranya semua pihak bersikap terbuka dan ikhlas.

“Kita berjiwa besar (dalam hal ini). Saya juga sedia bekerjasama dengan ahli Parlimen Maran (Ismail) untuk terus memupuk perpaduan negara," ujarnya.

Mengulas isu melibatkan kampung Orang Asli, beliau menjelaskan komuniti di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Kata Kor Ming, bagaimanapun kementeriannya akan terus bertindak berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan tiada warga komuniti di bawah tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terpinggir.

Artikel Berkaitan:

“Prinsipnya jelas, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” kata beliau.

 

Ringkasan AI

  • Kanak-kanak di Kampung Baru Cina mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang dalam bidang akademik
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di STPM
  • Keupayaan menguasai bahasa kebangsaan tidak wajar dibataskan oleh latar belakang pendidikan atau lokasi penempatan
  • Kepelbagaian aliran sistem pendidikan tidak menjadi penghalang kepada perpaduan kebangsaan
  • Kementerian akan terus bertindak berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan tiada warga komuniti terpinggir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!