‘Puting beliung’ dalam ATM tidak gambarkan keseluruhan pasukan - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 'puting beliung' yang melanda Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) berkait dakwaan salah laku dan rasuah tidak menggambarkan keseluruhan imej pasukan pertahanan negara itu.
Beliau berkata, di sebalik kemelut tersebut masih ramai yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti tinggi.
Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih setinggi-tingginya kepada semua pihak yang berkhidmat dengan baik dan cemerlang, sambil menyatakan harapan agar episod gelap dan muram yang diibaratkan sebagai ‘puting beliung’ itu dapat berlalu.
"Jarang berlaku puting beliung di Malaysia ini, tetapi dua tiga tahun sekali dia mari melanggar. Saya tidak mahu segelintir isu yang menyelubungi segelintir orang itu, walaupun masih dalam siasatan dan keputusan mahkamah nanti, tetapi tidak harus menyebabkan tercoreng muka dan gambaran serta status bagi pegawai tentera di semua peringkat yang berkhidmat dengan baik.
"Saya mengharapkan mereka tetap dengan pendirian mereka, tegas berkhidmat, kerana negara ini mencapai prestasi yang baik dalam bidang ekonomi lantaran keamanan yang kita nikmati," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, peluncuran DIPN yang lama tertangguh itu juga dilihat tepat pada masanya untuk merungkai segera kemelut yang membadai ATM.
Beliau dalam masa sama mengakui kontroversi yang berlaku itu bukan sahaja perkembangan mengejut negara tetapi juga dunia.
"Mudah-mudahan ia tidak memberikan gambaran yang negatif. Dengan dasar ini dan berakhirnya pembekuan untuk dibawa melalui jentera dan konsep dasar baharu ini, kita berikan satu harapan baharu bagi Malaysia," katanya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 'puting beliung' yang melanda ATM berkait rasuah tidak mencerminkan keseluruhan imej pasukan pertahanan
- Beliau menyatakan masih ramai anggota yang berkhidmat dengan dedikasi dan integriti tinggi
- Anwar menyampaikan penghargaan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang dan berharap keadaan negatif dapat berlalu
- Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dilihat sebagai langkah tepat untuk mengatasi kemelut dalam ATM
- DIPN diharapkan membawa harapan baru dan mejernihkan imej Malaysia di mata dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
