DPA beri isyarat salah, wujud persepsi ‘jalan ekspres’ golongan kaya – Rafizi

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan penyelesaian kes berprofil tinggi melebihi RM100 juta menerusi Mekanisme Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (Deferred Prosecution Agreement – DPA) berpotensi menghantar mesej salah kepada rakyat bahawa golongan kaya mempunyai laluan khas untuk mengelak perbicaraan.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, situasi itu berbeza dengan kes kecil yang melibatkan orang biasa yang tetap dikenakan tindakan tegas walaupun nilai kesalahan jauh lebih rendah.

“Bila orang biasa ambil susu RM100 pun boleh masuk ‘ke dalam’, tiba-tiba kita dengar ada cadangan kes RM100 juta ke atas boleh diselesaikan ikut DPA.

“Yang jadi masalah bukan semata-mata proses, tetapi mesej yang sampai kepada rakyat: kalau kau kaya, kau ada jalan ekspres,” ujarnya dalam satu sesi soal jawab podcast.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan penggunaan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) sebagai salah satu cara menyelesaikan kes-kes rasuah bernilai tinggi yang melibatkan jumlah melebihi RM100 juta tanpa perlu melalui perbicaraan mahkamah sepenuhnya.

Cadangan itu kini berada di peringkat akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan Jun 2026, selepas rundingan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa SPRM bukan institusi yang bertujuan mengutip wang semata-mata, sebaliknya keadilan perlu diterjemahkan melalui perbicaraan, akauntabiliti dan hukuman.

“Kalau perlu tunggu lama pun, rakyat nak tengok perbicaraan, akauntabiliti dan hukuman, sebab itu yang buat orang rasa sistem ini adil, bukan sekadar ‘selesai tepi’ dan umum jumlah duit dipulangkan,” ujarnya.

Menurut beliau, isu itu memberi kesan kepada persepsi rakyat di pelbagai lapisan masyarakat, termasuk rasa tidak adil dalam kalangan rakyat biasa, persoalan dalam kalangan kelas pertengahan mengenai layanan berbeza antara kes besar dan kecil, serta tafsiran tersirat oleh golongan atasan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, peningkatan kes berprofil tinggi yang diselesaikan melalui kompaun, pemulangan wang atau DPA boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi.

“Bila kes berprofil tinggi makin banyak ‘kompaun’, ‘pulangkan’, atau nanti ‘DPA’, keyakinan terhadap institusi akan bocor lebih laju daripada apa-apa usaha perhubungan awam,” ujarnya.

Rafizi turut mengingatkan bahawa penggunaan naratif pemulangan wang berbilion ringgit oleh Perdana Menteri perlu ditangani dengan berhati-hati kerana rakyat akan menilai sama ada pendekatan itu benar-benar adil atau sekadar berfokus kepada jumlah wang yang dikutip.

“Bila Perdana Menteri sendiri guna naratif ‘berbilion dipulangkan’, dia kena lebih berhati-hati sebab rakyat akan tanya soalan paling mudah: adil ke, atau sekadar kira duit?” ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya mekanisme DPA ingin diperkenalkan, ia mesti disertakan dengan semak dan imbang yang jelas termasuk kebebasan SPRM serta pengawasan kehakiman, bukan keputusan tertutup yang hanya kelihatan baik di atas kertas.

“Kalau tidak, ini bukan perubahan. Ini cuma jalan mudah yang akhirnya memakan balik kepercayaan rakyat,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Cadangan penyelesaian kes berprofil tinggi melebihi RM100 juta melalui DPA berpotensi menghantar mesej salah bahawa golongan kaya boleh mengelak perbicaraan
  • Situasi ini berbeza dengan kes kecil yang melibatkan orang biasa yang dikenakan tindakan tegas
  • SPRM mencadangkan penggunaan DPA untuk menyelesaikan kes-kes rasuah bernilai tinggi tanpa perlu melalui perbicaraan mahkamah
  • Rafizi menegaskan keadilan harus diterjemahkan melalui perbicaraan, akauntabiliti dan hukuman
  • Peningkatan kes berprofil tinggi yang diselesaikan melalui DPA boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!