Nizar menang saman fitnah terhadap pemimpin Amanah kawasan

Mohammad Nizar (tiga dari kanan) dan Amirul Fairuzzeen (tengah) berjaya dalam tuntutan saman fitnah secara lisan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
Mohammad Nizar (tiga dari kanan) dan Amirul Fairuzzeen (tengah) berjaya dalam tuntutan saman fitnah secara lisan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya dalam tuntutan saman fitnah secara lisan terhadap pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Gopeng, Ahmad Badrin Abdul Khalid.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Rohani Ismail pada Selasa selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan Mohammad Nizar selaku plaintif berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diucapkan defendan pada 1 Mei 2021.

Saman tersebut difailkan berikutan kata-kata fitnah yang didakwa diungkapkan Ahmad Badrin, yang merupakan Ketua Amanah Kawasan Gopeng ketika itu, semasa sesi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara Kawasan Gopeng sehingga menjejaskan reputasi Mohammad Nizar selaku Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Rapat.

Mahkamah memutuskan defendan bertanggungan membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada plaintif serta kos RM15,000, tertakluk kepada alokatur.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah iaitu 20 Januari 2026.

Permohonan maaf tersebut perlu diterbitkan di sebuah akhbar perdana dengan kandungan permohonan maaf ditetapkan oleh plaintif.

Mahkamah juga membenarkan perintah injunksi terhadap defendan atau ejen atau pembantunya bagi menghalang sebarang perbuatan fitnah sama atau seumpamanya dilakukan terhadap plaintif pada masa hadapan.

Peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sepanjang empat hari perbicaraan yang berlangsung pada September dan Oktober tahun lalu itu, seramai 11 saksi dipanggil, dengan lima merupakan saksi plaintif manakala selebihnya saksi defendan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya dalam tuntutan saman fitnah terhadap pemimpin Amanah Kawasan Gopeng, Ahmad Badrin Abdul Khalid
  • Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Rohani Ismail membenarkan tuntutan saman itu berikutan kenyataan berunsur fitnah yang diucapkan oleh defendan pada 1 Mei 2021
  • Ahmad Badrin didakwa mengungkapkan kata-kata fitnah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Parti Amanah Negara Kawasan Gopeng, menjejaskan reputasi Mohammad Nizar sebagai ADUN Sungai Rapat
  • Defendan diarahkan membayar ganti rugi RM80,000 dan kos RM15,000 kepada plaintif
  • Defendan juga perlu mengemukakan permohonan maaf bertulis yang diterbitkan di akhbar perdana dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah dan dilarang melakukan perbuatan fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!