Bukan wang semata, tapi maaf yang ikhlas - Bapa Altantuya

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam.
A
A
A

PUTRAJAYA – Bapa kepada bekas model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu menegaskan bahawa perjuangannya selama dua dekad bukanlah sekadar menuntut wang semata-mata.

Sebaliknya Dr Shaariibuu Setev, 75, berkata, perjuangan ahli keluarga terhadap kematian tragis anak perempuannya pada 2006 itu dibuat demi mendapatkan keadilan serta satu permohonan maaf yang ikhlas.

Menerusi satu kenyataan media, beliau berharap keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan pada Selasa dapat diamati secara mendalam oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, sepanjang 20 tahun lalu, perkara yang dicari hanyalah satu permohonan maaf secara jujur atas perbuatan jenayah yang berlaku.

“Permohonan maaf itu tidak seharusnya datang daripada rakyat Malaysia, walaupun ramai yang telah menyatakan simpati dan memohon maaf bagi pihak kerajaan.

“Permohonan secara rasmi itu perlu dibuat kepada kerajaan Mongolia serta rakyatnya bukan hanya kepada ahli keluarga secara peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Shaariibuu berkata, dia juga mahu mengetahui identiti pihak yang memberi arahan kepada dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan anak perempuannya.

Katanya, jawapan itu penting untuk merungkai segala persoalan yang menghantuinya selama ini.

“Apabila kebenaran itu dibuktikan di sisi undang-undang di hadapan mahkamah, maka tiada lagi jalan lain melainkan satu permohonan maaf perlu diperintahkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda hanya perlu membayar ganti rugi berjumlah RM1.4 juta kepada keluarga Altantuya, berbanding RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Abdul Razak berhubung kuantum ganti rugi.

Mengikut pecahan, bayaran itu meliputi ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan kos pengebumian RM15,000.

Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan saman yang difailkan keluarga itu berhubung kematian Altantuya terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.

Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan Azilah dan Sirul, Abdul Razak serta kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.

Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia, dibunuh oleh dua bekas pengawal peribadi itu, pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, Sirul dan Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Altantuya pada November 2006.

Pada 12 Februari 2025, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, M Sumathi memerintahkan kerajaan dan Abdul Razak membayar RM9.4 juta kepada keluarga model itu namun membenarkan mereka melunaskan 50 peratus daripada jumlah berkenaan terlebih dahulu.

Altantuya, 28, ditemui dalam keadaan ngeri dengan cebisan daging daripada anggota badannya bertebaran di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berhampiran Empangan Tasik Subang.

Mangsa dipercayai diletupkan antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul selepas didapati bersalah membunuh mangsa.

Sirul telah ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa imigresen Australia pada Januari 2015 tetapi tidak dihantar pulang ke Malaysia kerana dasar negara itu yang tidak menghantar pulang orang yang menghadapi hukuman mati.

 

 

Ringkasan AI

  • Bapa Altantuya Shaariibuu menegaskan perjuangan mendapatkan keadilan bukan untuk wang
  • Perjuangan ini termasuk mendapatkan permohonan maaf yang ikhlas daripada kerajaan
  • Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan dan Abdul Razak Baginda hanya perlu membayar RM1.4 juta
  • Dr Shaariibuu mahu mengetahui siapa yang memberi arahan pembunuhan kepada Altantuya
  • Altantuya ditemui meninggal dengan keadaan ngeri pada tahun 2006

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!