Tiga tokan dadah sedang 'lalok' dicekup

ROMPIN - Tiga lelaki sedang 'lalok' tidak sempat meloloskan diri selepas 'port' mereka di Felda Keratong 6 dan Felda Keratong 7 di sini diserbu polis pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suspek berusia 40 hingga 41 tahun disyaki tokan dadah itu ditahan dalam serbuan berasingan antara jam 5. 50 hingga 6.15 pagi.
Menurutnya,susulan penahanan tiga penganggur itu, polis menemui dan merampas dadah jenis syabu serta heroin dianggarkan seberat 27.23 gram bernilai kira-kira RM2,000.
"Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Felda Keratong 7 dan sarang penagihan dalam ladang kelapa sawit di Felda Keratong 6.
"Sebuah bangsal ditemui di ladang kelapa sawit di Felda Keratong 6 disyaki dijadikan tempat untuk mengedar dadah kepada penagih di kawasan tersebut," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Sharif Shai berkata, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B(1)(a), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelas beliau, kejayaan tangkapan itu hasil risikan berterusan pihaknya dan kerjasama awam.
"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan dadah boleh menyalurkannya terus kepada Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 09-4145222," ujarnya.
Ringkasan AI
- Tiga lelaki ditangkap ketika sedang 'lalok' di Felda Keratong 6 dan Felda Keratong 7 oleh polis
- Suspek berusia 40 hingga 41 tahun dan disyaki sebagai tokan dadah
- Polis merampas dadah jenis syabu serta heroin bernilai kira-kira RM2,000
- Serbuan melibatkan sebuah rumah di Felda Keratong 7 dan bangsal di ladang kelapa sawit Felda Keratong 6
- Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B(1)(a), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

