Skim ubah wang haram babitkan IJM: SPRM rakam keterangan 9 individu

SPRM merakam keterangan sembilan individu termasuk dua pihak berkepentingan bagi membantu siasatan dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd (IJM) berhubung skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
SPRM merakam keterangan sembilan individu termasuk dua pihak berkepentingan bagi membantu siasatan dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd (IJM) berhubung skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
A
A
A

NILAI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan sembilan individu termasuk dua pihak berkepentingan pada Selasa bagi membantu siasatan dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd (IJM) berhubung skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu terbabit hadir ke pejabat SPRM kira-kira 10 pagi dan proses pengambilan keterangan dijangka berlangsung sepanjang hari.

"Kami baru memulakan siasatan semalam (dan) masih awal untuk saya memberi sebarang komen berhubung dengan penemuan. Sekiranya ada kes (terlibat) kita akan teruskan siasatan dengan lebih lanjut.

"Kita sudah memanggil kedua-dua pihak dan mereka datang ke pejabat beri kerjasama (namun) tidak akan ada tangkapan setakat ini,” katanya.

Azam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi SPRM (MACA) yang turut dihadiri Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan masih terlalu awal dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti perkara berkaitan termasuk dokumen serta mendapatkan maklumat lengkap daripada semua pihak disyaki terlibat.

Beliau turut menasihatkan, semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau persepsi berhubung kes itu kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Bagi kami masa (untuk siasat). Kes berkenaan melibatkan isu korporat, jadi kita perlu masa untuk mengkaji dokumen dan sebagainya.

"Jangan buat spekulasi (kerana) terlalu banyak yang keluar sama ada di pelbagai blog, membuat dakwaan tidak tepat dan kita perlu siasat dulu perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, SPRM memaklumkan sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM itu dengan sumber dalaman memberitahu masing-masing seorang anggota pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri dan penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan. - Bernama 

Ringkasan AI

  • SPRM merakam keterangan sembilan individu termasuk dua pihak berkepentingan bagi membantu siasatan dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion melibatkan IJM Corporation Bhd
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan proses pengambilan keterangan berlangsung sepanjang hari itu dan semua individu terbabit memberi kerjasama
  • Siasatan masih dalam peringkat awal, dengan SPRM menyatakan belum ada tangkapan setakat ini dan memerlukan masa untuk meneliti dokumen dan mendapatkan maklumat lengkap
  • Azam Baki menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau persepsi yang boleh menjejaskan siasatan
  • Siasatan berkait isu korporat dan dokumen yang memerlukan kajian lanjut sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!