Perak laksana jualan ikan murah sepanjang tahun

Mohd Zolkafly (tengah) menunjukkan poster Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah dengan kerjasama LKIM Perak selepas sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.
Mohd Zolkafly (tengah) menunjukkan poster Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah dengan kerjasama LKIM Perak selepas sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH – Kerajaan negeri Perak melaksanakan Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) secara berterusan sepanjang tahun ini di seluruh daerah.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga lebih rendah sekali gus mengurangkan kos sara hidup.

Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan di lokasi terpilih di 12 daerah di Perak dengan lima tapak kekal dikenal pasti selain turut dijalankan secara bergerak menggunakan lori dan motosikal roda tiga di bawah khemah dengan kekerapan tiga kali seminggu di lokasi terpilih.

"Secara keseluruhan, LKIM menyasarkan lebih 1,000 siri jualan sepanjang tahun 2026 supaya manfaat program ini dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri Perak.

"Pelbagai spesies ikan akan ditawarkan mengikut permintaan setempat dengan harga antara 20 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama pada sidang media berkenaan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.

Mohd Zolkafly berkata, program berkenaan bukan sahaja dilaksanakan sempena musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri sebaliknya diadakan tanpa mengira minggu atau bulan.

Menurutnya, pelaksanaan program itu selaras dengan kedudukan Perak sebagai pengeluar hasil perikanan tertinggi negara dan wajar hasil tangkapan berkenaan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk harga yang berpatutan.

"Antara contoh harga jualan ditawarkan ialah ikan kembung besar dijual RM13.60 sekilogram berbanding harga pasaran RM17, ikan merah dan sotong RM28 sekilogram berbanding RM35, udang RM28 berbanding RM35 serta kerang RM14.40 berbanding RM18.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ikan siakap dijual RM16.40 berbanding RM20.50, bawal emas RM30.40 berbanding RM38, ketam bunga RM30.40 berbanding RM38 dan tenggiri RM31.20 berbanding RM39,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata, pemilihan lokasi jualan dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) termasuk cadangan untuk melaksanakan jualan di kawasan masjid selepas solat Jumaat tertakluk kepada kesesuaian infrastruktur.

Menurutnya, jualan ikan murah berkenaan telah bermula sejak Oktober 2025 dan pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung di Sungai Siput pada Februari ini.

Menurutnya, antara program terdekat ialah jualan ikan murah di Felda Nenering 1, Pengkalan Hulu pada 25 Januari ini bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Bekalan ikan insya-ALLAH mencukupi dan tidak menjadi masalah sepanjang pelaksanaan program ini.

"Tiada had pembelian ditetapkan kepada pengguna,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh mengikuti kemas kini melalui Facebook LKIM Perak.

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Perak melaksanakan Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah di seluruh daerah sepanjang tahun ini
  • Inisiatif ini bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga murah untuk mengurangkan kos sara hidup
  • Program dilaksanakan di 12 daerah Perak dengan lima tapak kekal dan juga secara bergerak dengan lori dan motosikal roda tiga
  • LKIM menyasarkan lebih 1,000 siri jualan hingga tahun 2026 dengan harga ikan 20 hingga 40 peratus lebih murah daripada pasaran
  • Pelaksanaan program ini tidak hanya sempena musim perayaan tetapi sepanjang tahun, tanpa had pembelian bagi pengguna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!