Nelayan Kelantan kini miliki sijil, bukan sekadar bersandar pada pengalaman di laut

Nik Mohd Kamal (tengah) menyampaikan sijil kepada nelayan yang mengikuti Kursus Jurumudi di LKIM Kuala Besar, Kota Bharu pada Jumaat.
Nik Mohd Kamal (tengah) menyampaikan sijil kepada nelayan yang mengikuti Kursus Jurumudi di LKIM Kuala Besar, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU – Nelayan di Kelantan kini melangkah ke fasa baharu apabila memiliki Sijil Kursus Jurumudi (Mate Domestic) dan tidak lagi hanya bergantung kepada pengalaman semata-mata ketika berada di lautan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu, Nik Mohd Kamal Husin berkata, kelebihan memiliki sijil tersebut ialah nelayan bukan sahaja mahir dari segi penangkapan ikan, malah berpengetahuan tentang undang-undang laut dan pengurusan kecemasan.

“Sebelum ini nelayan hanya tahu kemahiran hidup di laut, tetapi bab undang-undang dan tindakan semasa kecemasan mereka tidak tahu.

“Dengan kursus ini, mereka tahu apa yang perlu dibuat jika berlaku kerosakan, kecemasan atau situasi tidak dijangka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Jurumudi (Mate Domestic) di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, pada Jumaat.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Presiden Polaris Maritime Training Academy Sdn. Bhd., Muhammad Amir Abdullah.

Menurut beliau, keperluan itu selaras dengan ketetapan kerajaan yang mewajibkan semua nelayan, termasuk yang membawa pemancing, memiliki sijil.

Ujarnya, sebelum ini pengambilan sijil tersebut adalah terhad, namun timbul pelbagai masalah dari segi pengoperasian menyebabkan kerajaan mengarahkan semua pengusaha terlibat mendapatkan kelayakan berkenaan.

“Masalahnya, kos untuk mendapatkan sijil ini agak tinggi kerana melibatkan institut latihan dan penggunaan premis. Kos biasa boleh mencecah lebih RM2,000 sehingga lulus.

“Jadi, persatuan nelayan mengambil alternatif dengan menganjurkan kursus ini supaya nelayan dan penduduk setempat mampu menanggung kos, iaitu sekitar RM1,900 termasuk peperiksaan sehingga lulus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Mohd Kamal memberitahu, penganjuran kursus tersebut bukan bermotifkan keuntungan semata-mata, sebaliknya sebagai khidmat sosial bagi membantu nelayan tempatan meningkatkan tahap keselamatan dan profesionalisme.

Tambahnya, penguatkuasaan pengambilan sijil itu dibuat susulan beberapa insiden kemalangan di laut yang meragut nyawa sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap aktiviti membawa pemancing.

“Dulu lesen bot nelayan bawa pemancing cuma RM2. Tetapi disebabkan beberapa kejadian, orang ramai anggap kami bawa pemancing seolah-olah hendak cari mati. Sebab itu kerajaan perketatkan syarat ini,” jelasnya.

Menurut Nik Mohd Kamal, kursus selama seminggu itu melibatkan teori dan praktikal, dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman serta bertauliah dalam bidang maritim.

Ujar beliau, setakat ini satu sesi kursus melibatkan 24 peserta bagi kumpulan pertama dan kumpulan seterusnya dijadualkan pada Februari depan.

Katanya lagi, daripada kira-kira 600 nelayan berdaftar di bawah persatuan tersebut, baharu sekitar 20 orang memiliki sijil ini.

“Kesedaran masih rendah, tidak sampai 10 peratus.

“Sebab itu persatuan akan terus memantau dan menggalakkan penyertaan supaya nelayan lebih berilmu, berpengetahuan serta menjadi contoh kepada persatuan nelayan lain,” katanya.

Beliau berharap inisiatif itu menjadi penambahbaikan baharu ke arah melahirkan nelayan tempatan yang lebih berkemahiran tinggi dan profesional dalam industri maritim.

Ringkasan AI

  • Nelayan di Kelantan kini memiliki Sijil Kursus Jurumudi (Mate Domestic) untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan
  • Kursus tersebut mengajar tentang undang-undang laut dan pengurusan kecemasan
  • Kerajaan mewajibkan semua nelayan memiliki sijil tersebut untuk meningkatkan keselamatan dan profesionalisme
  • Kos untuk mendapatkan sijil ini boleh mencecah lebih RM2,000, namun persatuan nelayan menawarkan alternatif lebih murah
  • Seramai 20 daripada kira-kira 600 nelayan berdaftar telah memperolehi sijil ini, menunjukkan kesedaran yang masih rendah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!