Susu percuma buat 177 prasekolah di Perak

Saarani (dua dari kanan) menerima plak simbolik penyerahan sumbangan pelaksanaan Program CSR Perak Fresh bagi pemberian susu percuma kepada murid prasekolah daripada Azmi(tengah) di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak pada Khamis.
Saarani (dua dari kanan) menerima plak simbolik penyerahan sumbangan pelaksanaan Program CSR Perak Fresh bagi pemberian susu percuma kepada murid prasekolah daripada Azmi(tengah) di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 177 prasekolah terpilih di seluruh Perak bakal menerima susu kotak secara percuma menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perak Fresh hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Farm Fresh Bhd.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang dilaksanakan bermula November ini, memberi tumpuan kepada murid prasekolah di kawasan luar bandar melibatkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai kanak-kanak khususnya di kawasan luar bandar mendapat akses kepada minuman berkhasiat bagi menyokong tumbesaran dan pembelajaran mereka.

“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada minuman berkhasiat khususnya dalam kalangan murid di kawasan luar bandar di samping membantu memenuhi keperluan nutrisi serta menyokong tumbesaran dan proses pembelajaran mereka.

"Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak dan Farm Fresh ini diharap dapat menjadi jambatan kepada pelaksanaan lebih banyak program dan projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan di negeri Perak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengasas Bersama Farm Fresh, Azmi Zainal menyerahkan plak simbolik bagi pelaksanaan program berkenaan kepada Saarani sempena kunjungan hormat syarikat itu di pejabatnya.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Saarani (kiri) berbincang dengan Azmi mengenai kerjasama strategik dalam pembangunan industri tenusu dan sektor pertanian ketika menerima kunjungan hormat syarikat itu di Pejabat Menteri Besar Perak pada Khamis.
Saarani (kiri) berbincang dengan Azmi mengenai kerjasama strategik dalam pembangunan industri tenusu dan sektor pertanian ketika menerima kunjungan hormat syarikat itu di Pejabat Menteri Besar Perak pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, kerjasama tersebut turut membuka ruang untuk memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan negeri dan Farm Fresh, khususnya dalam pembangunan industri tenusu, sektor pertanian serta program kesejahteraan rakyat.

Selain pelaksanaan program CSR, Farm Fresh turut memperluas pelaburannya di Perak menerusi pembangunan kilang penghasilan susu segar, mentega dan aiskrim serta aktiviti penternakan lembu tenusu.

Syarikat itu juga terlibat dalam penanaman jagung bijian secara berskala besar dengan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perak.

Menurut Saarani, perkembangan tersebut dijangka menyokong pembangunan sektor agromakanan negeri, selain membuka peluang pekerjaan dan menjana limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!