KBGK mahu satukan masyarakat melalui kerjasama NGO

Sultan Nazrin (tengah) turut berkenan berangkat ke Majlis Permasyhuran Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang 2026 di sebuah hotel di Meru Raya, pada malam Ahad.
Sultan Nazrin (tengah) turut berkenan berangkat ke Majlis Permasyhuran Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang 2026 di sebuah hotel di Meru Raya, pada malam Ahad.
A
A
A

IPOH – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) berhasrat menyatukan masyarakat berbilang kaum di Perak melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu kemasyarakatan dan pendidikan secara menyeluruh.

Presidennya, Ismail Mohamed Yusoff berkata, antara misi utama kepimpinannya bagi tahun 2026 adalah memperkukuh integrasi kaum dengan menggabungkan NGO Melayu, Cina dan India supaya usaha kebajikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan antaranya Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak, Persatuan Nesakaranggal Perak serta Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

"Misi saya pada tahun 2026 ini adalah integrasi kaum dan sebab itu kita berkolaborasi dengan NGO-NGO bukan Melayu yang lain. Kita melihat peranan mereka juga sebagai contoh MCPF yang melaksanakan program-program mengatasi masalah buli di sekolah.

"Pendekatan ini penting supaya kita tidak terlepas pandang aktiviti dan masalah lain dalam masyarakat, khususnya isu buli dan krisis kemasyarakatan dalam pendidikan yang turut mendapat perhatian Sultan Perak,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Permasyhuran Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang 2026 di sebuah hotel di Meru Raya di sini pada malam Ahad.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Ismail menjelaskan visinya adalah menjadikan KBGK sebagai payung kepada NGO-NGO lain di Perak dengan menggabungkan kekuatan sedia ada bagi membantu rakyat yang memerlukan termasuk komuniti Orang Asli serta sekolah daif.

Beliau turut menegaskan bahawa KBGK kini bergerak ke arah imej lebih inklusif, tidak lagi terhad kepada golongan elit, sebaliknya terbuka kepada semua lapisan masyarakat bagi saling menyokong dan memperkukuh peranan kebajikan kelab tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ismail menyampaikan ucapan sejurus dimasyhurkan sebagai Presiden KBGK yang baharu di sebuah hotel, pada malam Ahad.
Ismail menyampaikan ucapan sejurus dimasyhurkan sebagai Presiden KBGK yang baharu di sebuah hotel, pada malam Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, KBGK turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan seni budaya sebagai medium membina jati diri serta menjana ekonomi kendiri dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Katanya, melalui pendedahan kepada seni warisan dan kemahiran kreatif, individu tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan, sebaliknya mampu berdikari melalui kebolehan sendiri.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan KBGK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan mengambil Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana, Bandar Baru Seri Iskandar sebagai sekolah angkat bagi melaksanakan program kolaborasi menangani krisis kemasyarakatan dalam pendidikan.

"Saya percaya pendedahan awal kepada seni, budaya dan nilai murni mampu membentuk murid yang beradab, berjati diri serta menghargai negara dan bangsa sejak peringkat sekolah rendah. Saya tertarik dengan karya seni murid-murid ini yang kemudian boleh dijual seterusnya menjadi pendapatan sampingan.

"Kita juga mahu anak-anak ini berdikari dengan kemahiran serta bakat yang mereka ada tanpa mengantung kepada bantuan kerajaan semata-mata," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kelab itu juga akan memperluas liputan aktiviti kebajikan melalui pelancaran Podcast Rasmi Kelab Bakti Gunung Keledang sebagai medium digital baharu bagi menyampaikan mesej kemasyarakatan kepada khalayak lebih luas.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran sosial serta memastikan misi kebajikan KBGK dapat difahami sehingga ke peringkat akar umbi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!