JPJ Perak guna kamera badan, tingkat ketelusan operasi

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak kini menggunakan kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) dalam operasi penguatkuasaan sebagai langkah meningkatkan ketelusan antara anggota dan orang awam ketika operasi.
Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd Azmi Jaafar berkata, penggunaan BWC oleh anggota penguat kuasa membolehkan semua interaksi di lapangan dirakam secara langsung dan dipantau mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh ibu pejabat.
"JPJ Perak menerima 14 unit BWC bermula November lalu yang kini digunakan secara berperingkat dengan lapan unit ditempatkan di JPJ Ipoh, empat unit di JPJ Cawangan Taiping dan dua unit di Stesen Penguat Kuasa Kuala Kangsar.
"Rakaman BWC ini bukan sahaja bertujuan melindungi hak pengguna jalan raya, malah melindungi anggota penguat kuasa daripada tuduhan tidak berasas atau dakwaan salah laku ketika menjalankan tugas," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek di sini pada Jumaat.
Mohd Azmi berkata, peranti berkenaan beroperasi secara real-time selain tidak boleh ditutup sesuka hati oleh anggota kecuali di kawasan sensitif mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Jika kamera ditutup tanpa sebab dibenarkan, isyarat akan dihantar terus ke ibu pejabat sebagai langkah kawalan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 112 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi khas kali ini dengan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar merekodkan jumlah tertinggi iaitu 25 kes.
Katanya, pendekatan operasi dilaksanakan secara sekatan jalan raya melibatkan 107 kenderaan diperiksa dan tindakan diambil terhadap 82 kenderaan.
"Daripada jumlah itu, 36 melibatkan motosikal, 40 kenderaan ringan dan selebihnya kenderaan lain.
"Tiada kenderaan disita setakat ini dan operasi dilaksanakan sebagai pendekatan mendidik serta meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, bukan semata-mata untuk menghukum," katanya.
Operasi khas tersebut memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama iaitu memotong barisan secara berbahaya, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan.
Turut diberi perhatian, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar hadapan dan belakang serta memotong di lorong kanan secara berterusan.
Ringkasan AI
- JPJ Perak menggunakan kamera badan dalam operasi penguatkuasaan untuk meningkatkan ketelusan
- JPJ Perak menerima 14 unit BWC yang digunakan secara berperingkat di Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar
- Penggunaan BWC bertujuan melindungi hak pengguna jalan raya dan anggota penguat kuasa
- Peranti beroperasi real-time dan tidak boleh ditutup sesuka hati kecuali di kawasan sensitif
- Operasi khas yang dijalankan merekodkan 112 notis kesalahan dengan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar paling tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

