Kedah sedia teroka kerjasama strategik, urus sisa pepejal luar bandar

Haim (depan, tiga kanan) bergambar selepas merasmikan program E-Idaman Inspire Supervisory Programme Power-Up Series pada Khamis.
Haim (depan, tiga kanan) bergambar selepas merasmikan program E-Idaman Inspire Supervisory Programme Power-Up Series pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah bersedia meneroka kerjasama strategik dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar, sejajar hala tuju pembangunan mampan negeri.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Inovasi dan Teknologi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, antara kerjasama yang sedang diteliti ialah pelaksanaan projek rintis pengurusan sisa pepejal di kawasan kampung dengan penglibatan syarikat swasta, E-Idaman Sdn Bhd.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, setakat ini, perkhidmatan berkenaan belum diperluaskan ke kawasan luar bandar di Kedah, justeru mencadangkan lokasi projek perintis pertama di kawasan itu bagi menilai keberkesanannya.

“Saya telah menawarkan Jitra sebagai projek perintis, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesediaan semua pihak termasuk E-Idaman, SWCorp dan kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas merasmikan program E-Idaman Inspire Supervisory Programme Power-Up Series, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.

Haim berkata, kerajaan negeri turut meminta E-Idaman membentangkan model perkhidmatan terbaik meliputi aspek pembersihan, pengumpulan sampah dan pengurusan sisa pepejal secara teratur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Tambahnya, model perkhidmatan yang dilaksanakan di luar bandar di Perlis akan dijadikan rujukan awal bagi menilai kesesuaian pelaksanaan di Kedah.

“Isu bayaran perkhidmatan juga perlu dikaji, termasuk kemungkinan pemberian geran oleh SWCorp. Semua ini perlu dieksplorasi bagi mendapatkan gambaran tepat sebelum program ini dapat dimulakan di kampung-kampung,” katanya.

Sementara itu, E-Idaman Inspire Supervisory Programme Power-Up Series 2025 disertai 25 kakitangan bertujuan memperkasa kemahiran kepimpinan, meningkatkan kreativiti dan melaksanakan projek inovasi yang memberi impak positif kepada organisasi dan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!