Video anggota UKHM cemas terserempak pak belang tular

IPOH - "Ada harimau, jaga-jaga, masuk kereta cepat."
Demikian ungkapan cemas yang dirakam jelas dalam dua video berdurasi lebih satu minit yang kini tular di media sosial, menggambarkan situasi sebenar ketika berdepan kehadiran seekor harimau belang.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika sepasukan anggota Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Perak menjalankan pemantauan berikutan aduan mengenai haiwan pemangsa tersebut di sebuah kebun durian di Bukit Kinding, Chemor, pada 11 Januari lalu.
Dalam rakaman video tersebut, kedengaran suara anggota memberi arahan agar semua berundur sambil cuba menakutkan haiwan berkenaan.
"Jaga-jaga... undur... ambil kayu," jerit seorang anggota.
Namun, usaha itu tidak berjaya apabila harimau belang berkenaan dilihat semakin mara mendekati kumpulan mereka.
"Rimau... rimau (harimau), cepat naik kereta... masuk dulu!" kedengaran suara lain mencelah, disusuli arahan lebih tegas.

Rakaman seterusnya memperlihatkan suasana bertukar kelam-kabut apabila semua pihak diarahkan segera menuju ke kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada berdekatan.
Seorang penunggang motosikal yang berada di lokasi turut diarahkan meninggalkan motosikalnya dan segera masuk ke dalam kenderaan demi keselamatan.
"Masuk dulu... cepat!" jerit salah seorang yang berada di lokasi sambil memastikan tiada siapa tertinggal.
Walaupun berdepan detik mencemaskan, tiada kecederaan dilaporkan dan semua pihak berjaya keluar dari lokasi dengan selamat.
Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji ketenangan serta tindakan pantas pasukan UKHM dalam mengendalikan situasi berisiko tinggi melibatkan haiwan liar, khususnya harimau belang yang dilindungi.
Difahamkan, harimau belang yang dirakam dalam video tular itu adalah haiwan sama yang kemudiannya berjaya masuk ke dalam perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Bukit Kinding.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan bahawa operasi terhadap haiwan pemangsa seberat 75 kilogram dan dianggarkan berusia sekitar dua tahun itu dilakukan hasil aduan penduduk mengenai kehadiran harimau di kawasan tersebut.
Harimau berkenaan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan fizikal dan telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Anggota Unit Konservasi Harimau Malaya Perak terserempak dengan harimau di Bukit Kinding
- Anggota berusaha menakutkan harimau dengan jeritan dan arahan
- Kelam-kabut meninggalkan lokasi dengan Toyota Hilux, tiada kecederaan
- Harimau berhasil ditangkap dan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

