Pemilihan parti UMNO selepas PRU16 elak sabotaj

KUALA LUMPUR - Pemilihan parti UMNO lebih baik diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengelakkan berlakunya unsur sabotaj antara kepimpinan parti.
Ketua Bahagian UMNO Semporna, Abdul Manan K K Indana @ Indanan berkata, banyak unsur negatif dijangka berlaku sekiranya pemilihan dibuat lebih awal.
"Itu antara sebabnya lebih baik kekal kepimpinan sekarang. Lepas PRU barulah susun semula.
"Kalau buat sebelum kita risau pihak tidak menang akan sabotaj parti," ujarnya kepada Sinar Harian.
Berhubung dengan akar umbi, beliau berkata, tidak semua yang mahukan pemilihan sebelum pilihanraya.
"Mungkin itu unsur daripada bahagian yang mempunyai masalah dengan kepimpinan parti," ujarnya.
Sebelum ini, UMNO menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan berlangsung tahun ini selepas PRU16.
Mengesahkan perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan, keputusan sama ada dua jawatan tertinggi akan dipertandingkan atau sebaliknya juga diputuskan kemudian.
Bagi Ketua Cawangan Bahagian Jasin, Razali Othman, lebih baik parti memberi fokus untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16 ini.
Katanya, UMNO perlu kuat dan kukuh dengan membaiki perkara yang perlu diperbaiki.
"Bagi pandangan saya lebih baik lah (pemilihan selepas PRU16). Kalau buat sblm kadang ada banyak team, tidak sependapat dan ada yang merajuk.
"Lagipun dulu pun ada buat perkara sama. Kalau tidak bersetuju itu pandangan masing-masing," ulasnya.
Sementara itu, ahli UMNO Lembah Pantai, Suzzalina Anuar berkata, ahli akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden.
"Bergantung dengan presiden sebab dia ketua kita. Kalau dia kata buat selepas PRU kami sebagaj ahli akur," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

