Agensi umrah kongsi kronologi kehilangan Nadia Kesuma di Jeddah

SHAH ALAM – Orang ramai diminta supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan usaha pencarian membabitkan jemaah dan pelakon, Nadia Kesuma, yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jeddah.
Agensi pelancongan, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kehilangan Nadia disedari apabila beliau tidak menaiki penerbangan sambungan dari Jeddah ke London semasa transit bagi pakej Umrah Ziarah London–Paris yang disertainya.
Menurut kenyataan itu, sebaik sahaja menerima makluman berhubung kejadian berkenaan, pihak Nuh Travel segera melaksanakan tindakan kecemasan dengan menggerakkan usaha pencarian secara menyeluruh.
“Pasukan petugas kami telah hadir sendiri ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang, pihak Muasasah dan Konsulat Malaysia di Jeddah bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menjejaki keberadaan Nadia.
“Sebagai langkah susulan yang lebih menyeluruh dan rasmi, pihak Nuh Travel akan membuat laporan polis di Jeddah bagi membolehkan tindakan pencarian dan siasatan dijalankan melalui saluran perundangan tempatan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Nadia dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah pada Khamis ketika dalam perjalanan mengikuti pakej umrah ziarah bersama sebuah agensi.
Difahamkan, Nadia sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.
Nuh Travel dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus berhubung dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan termasuk dari aspek keselamatan dan operasi di lapangan terbang bagi memastikan proses pengesanan dapat dijalankan secara lebih teratur serta berkesan.
Nuh Travel menjelaskan, meskipun sehingga kini Nadia masih belum berjaya dikesan, syarikat berkenaan tidak memandang ringan perkara tersebut.
“Keselamatan serta kebajikan para jemaah sentiasa menjadi keutamaan kami. Sehubungan itu, pihak Nuh Travel sedang giat berusaha untuk menangani dan menyelesaikan kes ini dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.
“Pihak pengurusan Nuh Travel juga sentiasa berhubung rapat dengan ahli keluarga Nadia bagi memaklumkan perkembangan terkini serta memberikan sokongan yang sewajarnya.
“Sebarang perkembangan rasmi berhubung kes ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui saluran rasmi yang sah,” menurut kenyataan itu lagi.
Ringkasan AI
- Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan usaha pencarian Nadia Kesuma yang hilang di Jeddah
- Kehilangan Nadia disedari apabila beliau tidak menaiki penerbangan sambungan dari Jeddah ke London semasa transit
- Pihak Nuh Travel telah menggerakkan usaha pencarian secara menyeluruh sebaik sahaja mendapat maklumat tentang kehilangan tersebut
- Pasukan petugas Nuh Travel bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang dan Konsulat Malaysia di Jeddah
- Nuh Travel akan membuat laporan polis di Jeddah sebagai langkah susulan yang lebih rasmi dan menyeluruh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

