Pengurusan kuil dakwa tuntutan Jakel bercanggah dengan perjanjian, ikrar kerajaan

SHAH ALAM - Pengurusan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman Kuala Lumpur mendakwa tuntutan Jakel Trading bercanggah dengan perjanjian dan ikrar Kerajaan Malaysia susulan notis terbaru syarikat tekstil itu agar kuil berkenaan segera memindahkan premisnya dalam tempoh tujuh hari.
Menurut pengurusan kuil, perjanjian dan ikrar tersebut sebelum ini menyebut kerajaan memberi komitmen bahawa Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman Kuala Lumpur tidak akan dipindahkan sehingga urusan penempatan semula di tapak baharu selesai.
"Ikrar ini terkandung dalam surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertarikh 25 Mac 2025 yang ditandatangani sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
"Berdasarkan janji tersebut, kami bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh kerajaan dan pertikaian ini telah diselesaikan secara baik, malah kami tidak pernah melengah-lengahkan proses pemindahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut katanya, sejak April 2025 pihaknya telah menghadiri kira-kira sepuluh mesyuarat bersama pelbagai pihak berkepentingan kerajaan.
Katanya, mesyuarat tersebut termasuk dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutamanya Jabatan Perancangan & Jabatan Kawalan Bangunan, Pejabat Tanah & Galian Wilayah Persekutuan (PTGKL), Polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum mereka berjaya mendapatkan kelulusan Pelan Bangunan pada 18 November 2025.
"Tanah tersebut hanya diwartakan untuk kegunaan kuil pada 10 Disember 2025 walaupun kami sentiasa membuat susulan dengan pihak berkuasa dan hanya semalam (15 Januari) kami diberitahu melalui emel bahawa pemilikan tanah telah sedia untuk dikosongkan. Ringkasnya, kami telah bergerak secepat mungkin sejak tahun lepas.
"Kami perhatikan bahawa hingga kini, Jakel Trading tidak membantah perjanjian dan ikrar kerajaan bertarikh 25 Mac 2025," katanya.
Dalam pada itu katanya, pengurusan kuil menghargai cadangan sumbangan RM1 juta daripada Jakel Trading namun mereka tidak dapat dan tidak akan menerimanya sekiranya ada syarat yang dikenakan seperti dinyatakan dalam surat berkenaan.
Jelasnya lagi, pihaknya sentiasa menganggap syarikat berkenaan sebagai rakan dan mereka telah menjadi jiran yang baik untuk sekian lama.
"Kami yakin bahawa semua masalah boleh diselesaikan dengan rasa simpati dan persefahaman bersama dengan harapan akan mendapat maklum balas positif serta penyelesaian akhir bagi perkara ini," katanya turut memaklumkan telah memberikan surat maklum balas terhadap notis tersebut pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan notis tuntutan tersebut selain menjelaskan telah menerima surat maklum balas daripada pihak kuil.
Ringkasan AI
- Pengurusan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman Kuala Lumpur mendakwa tuntutan Jakel Trading bercanggah dengan perjanjian kerajaan yang menyebut kuil tidak akan dipindahkan sehingga tapak baru selesai
- Surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertarikh 25 Mac 2025, ditandatangani oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memuat ikrar tidak akan memindahkan kuil sehingga penempatan baru selesai
- Pengurusan kuil telah menghadiri sepuluh mesyuarat bersama pelbagai pihak kerajaan sejak April 2025 dan mendapat kelulusan Pelan Bangunan pada 18 November 2025
- Tanah baru untuk kuil hanya diwartakan pada 10 Disember 2025 dan kuil telah berusaha secepat mungkin untuk pemindahan
- Pengurusan kuil menghargai sumbangan RM1 juta daripada Jakel Trading tetapi tidak dapat menerima jika ada syarat yang dikenakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
