Bertemu jodoh dengan adik ipar


ALOR SETAR - Seorang pengusaha kedai makan tidak menyangka bertemu jodoh dengan adik iparnya selepas pemergian suaminya kira-kira lima bulan lalu.
Noor Fatin Marzuki, 33, dari Kampung Teluk Kandis di sini, bernikah dengan Mohd Farizuwan Barkari, 27, yang merupakan adik kepada suaminya, Allahyarham Mohd Farid Barkari, 35.
Noor Fatin menganggap kehadiran suaminya itu sebagai pengubat kedukaan selain tiga anaknya dapat menumpang kasih sayang seorang ayah.
"Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin lagi dalam masa terdekat kerana mahu memberi tumpuan kepada anak-anak dan pekerjaan sahaja.
"Saya dan arwah suami sudah 10 tahun hidup bersama dan dua bulan juga saya tiada selera makan kerana sedih, selain menganggap tidak akan jumpa lagi lelaki yang baik serta boleh menerima saya selepas pemergian arwah.
"Dalam tempoh idah pula, ada juga lelaki yang mesej mahu berkenalan, cuma saya tidak melanjutkannya kerana tidak terfikir untuk cari penganti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bercerita lebih lanjut, Noor Fatin berkata, bagaimanapun segalanya berubah apabila suami dan keluarga mentua datang berjumpa untuk melamarnya.
"Ketika itu saya minta suami tanya dengan anak dan keluarga dahulu, alhamdulillah mereka setuju. Akhirnya kami teruskan niat untuk bina masjid pada 3 Januari lalu.
"Waktu suami menjadi adik ipar, kami tidak bersembang sangat pun kerana saya pun tahu batas, malah jarang berjumpa walaupun tinggal berdekatan.
"Suami dan keluarga mentua memang ambil berat terutama dengan anak saya selepas kematian arwah," katanya.
Terdahulu perkongsian Noor Fatin melalui akaun Tik Tok tular di media sosial dengan meraih 2 juta tontonan dengan 23,700 tanda suka.
Ringkasan AI
- Seorang pengusaha kedai makan dari Kampung Teluk Kandis, Alor Setar, Kedah bernikah dengan adik iparnya selepas pemergian suaminya
- Noor Fatin Marzuki, 33, menganggap kedatangan suaminya, Mohd Farizuwan Barkari, 27, sebagai pengubat kedukaan
- Tidak merancang untuk berkahwin lagi selepas kematian suami tetapi akhirnya menerima lamaran adik iparnya
- Noor Fatin dan Mohd Farizuwan menikah pada 3 Januari lalu
- Perkongsian mengenai perkahwinan mereka di TikTok meraih 2 juta tontonan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
