[VIDEO] UMNO masih sukar tewaskan Pas di Terengganu - Perwakilan

A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Terengganu mengakui parti itu masih gagal untuk menewaskan Pas sekiranya pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat sekiranya tiada strategi tersusun.

Perwakilan Terengganu, Nurhisam Johari berkata, hakikat itu perlu diterima meskipun pahit kerana sentimen politik di negeri berkenaan adalah berbeza, selain terdapat kekangan tertentu.

“Jujurnya, sekiranya pilihan raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan esok atau dalam masa terdekat, maaf menyebutnya, BN-UMNO di Terengganu akan menghadapi kekalahan.

“Bukan bermakna kami menyerah sebelum berjuang. Namun hakikat yang terpaksa kami akur, bahawa suasana atau sentimen politik di Terengganu berbanding di negeri-negeri lain amat berbeza.

“Tanpa strategi dan gerak kerja yang lebih tersusun, jangkauan kita untuk menawan semula Terengganu akan menempuh jalan sukar,” katanya ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Sabtu.

PRN Terengganu pada 2023 lalu menyaksikan Pas menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Nurhisam ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Sabtu.
Nurhisam ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norhisam berkata, UMNO Terengganu masih jauh daripada mampu untuk meroboh doktrin politik sentimen yang terus menebal dalam kalangan penyokong Pas di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, parti masih gagal memanfaatkan peluang untuk menyerang Pas yang kini berdepan banyak kelemahan dan isu berbangkit kerana kekangan khususnya di media sosial.

“Kita masih gagal melawan sikap agresif dan kesukarelaan gerak kerja propaganda dan tindak balas berstrategi daripada cybertrooper media sosial parti lawan dan proparti lawan.

“Kita telah mula menyerang naratif Pas melalui Unit Komunikasi Strategi yang dibentuk. Namun sejujurnya, tahap agresif dan kesukarelaan kita masih belum mampu meroboh tembok kebal politik sentimen serta tahap kesukarelaan yang tinggi dalam kalangan penyokong Pas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!