‘DAP tak pernah cakap UMNO sudah baik, mereka kutuk lagi ada’ - Akmal Saleh

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar DAP yang didakwa tidak pernah membela UMNO sebagai parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya bertindak mengutuk dan mencaci pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Walaupun ada pemimpin yang mengatakan duduk dengan DAP, tak apa. Dia boleh berubah, DAP berubah, tapi saya tak pernah dengar pun DAP cakap kita ini baik pada semua.
"Saya tak pernah dengar ada pemimpin DAP cakap 'Datuk Seri Presiden, UMNO sudah baik', tak pernah pun tuan-tuan. Apa yang saya dengar adalah ketika Datuk Seri Presiden dapat tiada tindakan lanjut (NFA), mereka kutuk dan caci lagi ada," katanya merujuk kepada 47 pertuduhan berkait kes dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid sebelum ini.
Dr Muhamad Akmal berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Dr Muhamad Akmal berkata, perkara berkenaan juga mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada UMNO sendiri.
Beliau menegaskan, parti itu perlu menerima realiti semasa bahawa krisis kepercayaan rakyat yang dihadapi UMNO masih belum pulih sungguhpun parti kini menjadi sebahagian kerajaan.
“UMNO tak boleh menyembunyikan hakikat itu, sebaliknya perlu bangkit memulihkan semula keyakinan rakyat di akar umbi.
"UMNO sedang berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat. Percaya atau tidak, setuju atau tidak, inilah hakikat yang tak boleh lagi kita sorok. Tahun pertama, tahun kedua, tahun ketiga bolehlah kita sorok dalam hati. Kita boleh bagi tahu tak apa, kita masih ada masa lagi nak kembalikan kepercayaan rakyat terhadap kita'," katanya.
Menurutnya lagi, biarpun parti sudah melakukan pelbagai usaha termasuk menjaga prestasi baik Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri mewakili UMNO tidak cukup untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.
“Jika benar parti mahu kembalikan kepercayaan rakyat dekat bawah ini, maka dalam perhimpunan kali ini, wajib perwakilan bercakap benar, jangan tipu, bawa, usulkan apa yang perlu parti lakukan.
“Kita kena bercakap dalam bahasa rakyat, suarakan suara rakyat. Walau pahit macam mana pun, kalau itulah kebenaran, wajib kita telan," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar DAP kerana tidak membela UMNO dalam Kerajaan Perpaduan
- DAP dituduh mengutuk dan mencaci pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
- Muhamad Akmal menyatakan DAP tidak pernah mengakui kebaikan UMNO atau Presidennya
- Krisis kepercayaan rakyat terhadap UMNO dianggap belum pulih walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan
- Perlu ada usaha lebih untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO melalui percakapan benar dan mewakili suara rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

