Pemindahan ladang babi: Selangor terbuka kaji lokasi lain - Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan berpusat pemindahan ladang ternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini tiada tapak lain yang diputuskan untuk memindahkan semua ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar.

"Setakat ini tak ada lokasi lain, namun kita akan kenal pasti dan nanti akan semak semula ke lokasi lain jika ada keperluan.

"Lokasi sekarang masih dalam perbincangan dan saya rasa Yang Berhormat (Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor), Datuk Izham (Hashim) sudah memberi beberapa penerangan mengapa lokasi itu dipilih," katanya ketika ditemui selepas Majlis Adab dan Warisan Sendeng Nusantara (ADIWIRA) 2026 di sini pada Sabtu.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri memahami kebimbangan masyarakat, namun menjelaskan cadangan itu bertujuan menutup ladang sedia ada yang tidak terurus dan menggantikannya dengan satu pusat penternakan yang lebih komprehensif serta terkawal.

"Alhamdulillah setakat ini semua sudah faham kita mahu tutup tempat yang tidak terurus dan letakkan satu yang lebih komprehensif," jelas beliau.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri terbuka untuk berbincang dan memberi penerangan lebih terperinci supaya isu itu difahami berdasarkan data dan peruntukan undang-undang bukannya sentimen semata-mata.

Mengulas kebimbangan berkaitan pencemaran, Amirudin berkata, kawasan itu sememangnya merupakan tapak pelupusan sampah terbuka yang juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

"Cadangan ini menggunakan konsep ‘zero discharge’ yang tidak mempunyai pelepasan ke sungai.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita tidak menolak untuk menyemak semula dan akan buat dengan segera kerana kita tidak boleh lagi membiarkan kawasan sedia ada (Tanjung Sepat) terus terbuka (beroperasi),” katanya.

Beliau turut menjelaskan, keluasan cadangan projek kira-kira 200 hektar itu termasuk zon penampan (buffer) yang berfungsi mengurangkan kesan bau, bunyi serta memisahkan aktiviti penternakan daripada kawasan awam.

"Buffer itu yang penting kerana ia akan menjauhkan operasi daripada orang ramai dan aktiviti lain. Kawasan sebenar penternakan adalah lebih kecil, selebihnya adalah zon penampan,” katanya.

Mengenai teknologi yang bakal digunakan, Amirudin berkata, perkara itu akan diperincikan kemudian kerana projek itu masih di peringkat penilaian Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).

"EIA dan SIA belum keluar lagi, namun ia akan melalui proses yang ditetapkan dan kita akan jelaskan.

"Kita harap proses ini dapat dipercepatkan supaya pemindahan dapat dilakukan segera. Jika tidak, ia akan memberi kesan besar kepada masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.

Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan, Khairul Naim Mohd Hassan, 43, berkata, kebimbangan utama penduduk adalah risiko pencemaran sumber air memandangkan lokasi dicadangkan berada paling hampir dengan kawasan Felda berbanding penempatan lain.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor belum mengenal pasti lokasi alternatif untuk pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor
  • Cadangan pemindahan ini bertujuan menutup ladang yang tidak terurus dan membina sebuah pusat penternakan yang lebih komprehensif dan terkawal
  • Kerajaan negeri terbuka untuk berdiskusi dan memberi penerangan lebih lanjut berdasarkan data dan undang-undang
  • Projek ini merangkumi pembinaan zon penampan untuk mengurangkan kesan bau dan memisahkan aktiviti penternakan daripada kawasan awam
  • Penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor agar kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang ternakan babi tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!