Kerajaan tidak halang Selangor laksana ternakan babi berpusat, moden

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor sekiranya kawasan itu didapati sesuai dalam aspek persekitaran serta pengurusan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang projek penternakan perlu memenuhi keperluan alam sekitar dan dilaksanakan mengikut perancangan yang strategik.
"Kalau didapati Bukit Tagar lebih sesuai dengan persekitarannya, maka kami di peringkat Persekutuan tidak ada masalah (dengan) apa yang nak dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini hari ini.
Beliau berkata, sebarang pemindahan ladang ternakan perlu mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar bagi mengelak aktiviti pencemaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.
"500 ekar tu luas tetapi mesti (konsep) moden untuk mengelakkan pencemaran. Kalau dilakukan dengan sistem (ternakan) moden, tidak akan berlaku pencemaran,” katanya.
Beliau berkata, amalan penternakan moden itu bukan sahaja akan memastikan pengurusan ternakan lebih efisyen, malah memberi kesan positif terhadap alam sekitar serta komuniti setempat.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan aktiviti penternakan itu di Bukit Tagar sebagai langkah strategik jangka panjang penstrukturan semula industri itu bermula 2030. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan setuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar
- Projek penternakan harus memenuhi keperluan alam sekitar dan dilaksanakan secara strategik
- Pemindahan ladang ternakan diambil kira aspek kelestarian alam sekitar untuk mengelak pencemaran
- Amalan penternakan moden memastikan pengurusan ternakan lebih efisyen dan berdampak positif pada alam sekitar serta komuniti
- Kerajaan Selangor berencana menjadikan Bukit Tagar sebagai pusat penternakan babi moden bermula 2030
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
