Tiga rakan didakwa rogol, amang seksual remaja perempuan 16 tahun

A
A
A

IPOH - Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas enam pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun pada minggu lalu.

Tertuduh, Isma Izzuan Ismail, 22; Mohamad Nazran Ibrahim, 23, dan Mohamad Firdaus Khan Ismel Khan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Isma Izzuan dan Mohamad Nazran didakwa secara bersama melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja tersebut dalam sebuah bilik di rumah sewa di Taman Pusing Permai, Batu Gajah antara jam 9 dan 9.30 malam pada 7 Januari 2026.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Isma Izzuan, Mohamad Nazran bersama Mohamad Firdaus Khan masing-masing dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Kesalahan tersebut dilakukan secara berasingan pada waktu, masa dan lokasi berbeza di Batu Gajah antara 9 malam hingga 2 pagi pada 7 dan 9 Januari 2026.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin.

Dalam prosiding itu, Isma Izzuan diwakili Peguam Aliff Aiman Rusli, Mohamad Nazran diwakili Canice Chan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Mohamad Firdaus Khan pula diwakili Peguam Baldip Singh.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin antara RM8,000 dan RM12,000 bersama syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada awal bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Mac depan.

Ringkasan AI

  • Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan merogol dan amang seksual remaja perempuan berusia 16 tahun
  • Isma Izzuan Ismail, Mohamad Nazran Ibrahim, dan Mohamad Firdaus Khan Ismel Khan mengaku tidak bersalah
  • Dua daripada mereka didakwa melakukan rogol berkumpulan di Taman Pusing Permai, Batu Gajah
  • Kesalahan merogol dan amang seksual dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan boleh disebat
  • Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan syarat tambahan dan perlu melapor diri di balai polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!