Tiada keperluan bawa pulang penuntut Malaysia di Mesir

Mesir turut melaksanakan Perintah Berkurung dan menjalankan pembersihan disenfeksi Covid-19.
Mesir turut melaksanakan Perintah Berkurung dan menjalankan pembersihan disenfeksi Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan) berpendapat tiada keperluan setakat ini untuk membawa pulang penuntut Malaysia yang berada di Mesir berikutan penularan koronavirus (Covid-19), kata Presiden persatuan itu, Ahmad Muazz Abdullah.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan risiko penularan wabak jika berlaku proses evakuasi ke atas lebih 10,000 pelajar Malaysia di Mesir.

“Buat masa sekarang, keadaan di sini masih terkawal...Mesir juga turut melaksanakan Perintah Berkurung bermula 7 malam hingga 6 pagi. Penutupan premis perniagaan bermula jam 5 petang hingga 6 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Muazz turut menyuarakan kebimbangan andai proses evakuasi di negara Timur Tengah itu akan membebankan kerajaan Malaysia dan petugas barisan hadapan, ketika negara bersiap sedia menghadapi gelombang ketiga Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan Mesir turut mengarahkan penutupan seluruh universiti dan sekolah bermula 15 Mac lepas sehingga diberitahu kelak..

“Pada mulanya pihak Kementerian Pelajaran Mesir mengumumkan peperiksaan akhir semester kedua akan bermula hujung Mei, tapi baru-baru ini kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Berkurung, dan kemungkinan besar tarikh itu akan berubah.

“Ketika ini, ada sebahagian universiti sudah mengambil inisiatif laksanakan pembelajaran secara dalam talian untuk habiskan silibus,” katanya.

Ahmad Muazz turut menasihati rakan-rakannya untuk sentiasa mematuhi nasihat dan pekeliling yang dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) serta mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pegawai KBMK dan atase negeri sentiasa memantau serta menjaga kebajikan pelajar.

“Ada beberapa negeri melalui pegawai pendidikan dan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) mula mengumpul maklumat dan mengagihkan keperluan asas bagi membantu pelajar tajaan masing-masing.

Menurut KBMK dalam satu kenyataan baru-baru ini, pihaknya sentiasa memantau perkembangan berkaitan kes positif Covid-19 di Mesir yang menyaksikan seramai 609 orang dijangkiti dengan 40 kematian setakat semalam.

Penuntut Malaysia yang mempunyai gejala berkaitan penyakit Covid-19 diminta segera menghubungi Setiausaha II Pendidikan KBMK, Rafidi Zainol di talian +2011 1333 0857, Mohd Yasser Abdul Ghani (+2011 5675 4445), Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (+2010 9856 9800) dan Nur Zaim Mohd Nur Aldin (+010 2523 4298).

KBMK turut menasihatkan rakyat Malaysia yang belum mendaftar agar berbuat demikian menerusi e-mel: mwcairo@kln.gov.my. - Bernama