Rundingan bawa pulang Jho Low masih berjalan - PM

Anwar (dua dari kiri) merasmikan Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia di Dewan Perdana Bulan Sabit Merah, pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anwar (dua dari kiri) merasmikan Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia di Dewan Perdana Bulan Sabit Merah, pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen kerajaan untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan segera.

Menurutnya, Malaysia sedang dalam proses rundingan dengan negara terbabit untuk membawa pulang ahli perniagaan itu secepat mungkin.

"Kita tidak pernah sahkan dia di mana, tapi kita sedang berunding dengan negara-negara untuk mempercepatkan proses itu.

"Itu dirunding antara negara, cara diplomatik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM), di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi BBSM Kebangsaan, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk seri Nancy Shukri; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Ketika ditanya di mana ahli perniagaan itu berada, Ahli Parlimen Tambun itu enggan menamakan negara terbabit, namun tetap menyatakan kesediaan kerajaan membawa pulang ahli perniagaan itu

"Ini kerana ia agak rumit (rundingan) melibatkan beberapa negara, unit risikan dan polis antarabangsa," katanya

Beliau berkata, setakat ini negara berkenaan memberi kerjasama yang baik menerusi proses rundingan.

Pada 20 April lalu, Bradley Hope, pengarang bersama buku "Billion Dollar Whale" yang mengisahkan mengenai 1MDB memetik sumber dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia dipercayai telah berunding dengan China berhubung ekstradisi Jho Low.

Hope berkata, rancangan sedemikian sedang dibincangkan dalam kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China sebelum ini.