SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang individu yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) berjaya dibawa pulang ke negara ini menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama agensi penguat kuasa luar pada Rabu lalu.

Sumber berkata, individu itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, individu itu dipercayai menghilangkan diri sejak 2018 kemudian diserahkan Notis Perintah untuk hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Hasil siasatan mendapati individu itu dipercayai telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

"Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa individu terbabit telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

"Pegawai SPRM telah merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah telah dilakukan pada hari yang sama," ujarnya.

Dalam pada itu, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Department, Singapura berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik seorang individu dikenali sebagai Tang Keng Chee pada 26 April lalu.

"Tang Keng Chee ataupun dikenali sebagai Casey Tang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB dari tahun 2012 hingga 2013.

"Beliau terlibat dengan 1MDB ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011.

"Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada Lembaga Pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low)," katanya.

Tambah sumber terbabit, SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap bertarikh 29 Jun 2018 kepada individu tersebut.

"Keng Chee masih tidak dapat dikesan dan telah menghilangkan diri dan waran tangkap dikeluarkan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan berkaitan penahanan berkenaan dan usaha yang dijalankan pihaknya.

"SPRM kini sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.

"SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion," katanya.