Teks penuh ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2025

DEWAN Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat sekali lagi bergema dengan ucapan dasar presiden yang disampaikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandakan bermulanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 secara rasmi.
Berikut ucapan penuh Ahmad Zahid:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat Naib-Naib Presiden UMNO Yang Berhormat Ketua Wanita UMNO dan saf kepimpinannya
Yang Berhormat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan saf kepimpinannya
Ketua Pergerakan Puteri UMNO dan saf kepimpinannya Setiausaha Agung UMNO, Bendahari Agung UMNO, Ketua Penerangan UMNO, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Presiden MCA, Presiden MIC, Presiden PBRS, Wakil-wakil Kelab UMNO luar negara, Barisan Kepimpinan Parti-Parti Komponen dan Parti-Parti Bersekutu Barisan Nasional
Tahun menggalas amah kenegaraan
1. Hari ini, izinkan saya berkongsi rasa, apa yang telah lama tersimpan di dalam lubuk hati kita semua. Apa yang ada di benak seluruh ahli UMNO, itu jugalah yang selama ini terpendam di hati saya.
2. Tiga tahun kita menggalas amanah kenegaraan, satu tempoh matang penggal Parlimen Ke-15. Tempoh di mana Parlimen memasuki suku ketiga yang membolehkan ia dibubarkan pada bila-bila masa.
Tempoh yang tidak memerlukan Pilihanraya Kecil diadakan jika berlaku kekosongan kerusi.
3. Tiga tahun lalu, tatkala negara diuji dengan ketidaktentuan, kita memilih untuk menempuh jalan yang beronak, agar negara tidak terus hanyut dalam gelombang kemelut yang tidak berkesudahan.
4. UMNO, walau dihujani tohmahan, disimbah dengan cemuhan, dituduh menggadai roh perjuangan, kita tetap kekal dengan prinsip kenegaraan, menjunjung amanah bangsa demi menyelamatkan tanah air daripada terjerumus ke lembah ketidakstabilan.
5. Segala amanah kenegaraan yang dipikul, bukan semata-mata soal kuasa. Ia adalah pertanggungjawaban untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sesuai dengan neraca Maqasid Syariah. Inilah acuan yang menjadi pedoman dan pegangan kita, selagi mana ditaklifkan dengan amanah, bagi menjalankan pentadbiran Kerajaan.
6. Hasilnya, amanah kenegaraan ini tidak terhenti pada keputusan politik semata-mata. Ia diterjemahkan melalui pencapaian dan prestasi. Bersama di dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO telah menjamin negara kembali ke landasan kemakmuran dan kehidupan rakyat dapat disejahterakan.
Kestabilan dan pencapaian
7. Dalam tempoh 38 bulan ini, daripada aspek politik dan pentadbiran, Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi tanpa sebarang gangguan, berbanding episod 22 bulan dan 17 bulan pada penggal Parlimen Ke-14 yang lalu. Untuk itu saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dapat memimpin negara dengan baiknya. Kejayaan YAB PMX mengekalkan kerajaan hingga ke hari ini tentunya berkat dukungan semua parti-parti yang bergabung di dalam Kerajaan Perpaduan.
8. 38 bulan ini, negara menikmati pengukuhan ekonomi. Pertumbuhan KDNK yang mampan, ringgit yang mengukuh dari RM4.18 berbanding dollar pada Januari 2022 kini RM4.09 berbanding 1 dollar Amerika, pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 16.9 bilion dolar Amerika pada tahun 2023 meningkat kepada 19 bilion dolar Amerika pada 2025, pengangguran menurun, malah, kadar kemiskinan dapat dikurangkan, dan pelbagai bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.
9. 38 bulan yang telah berlalu, pemerkasaan pendidikan terus diberikan penekanan melalui Agenda TVET Negara yang membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda menceburi bidang pekerjaan dengan gaji premium.
10. 38 bulan ini juga, Malaysia boleh berbangga, berada di pentas antarabangsa. Kita menjadi pemain yang aktif dalam membela nasib saudara kita di Palestin, kita berjaya mempertahankan maruah dan kedaulatan negara dalam isu Sulu. Tahniah buat Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi. Selain itu kejayaan dalam tempoh ini kita dengan jayanya dapat melaksanakan tanggungjawab Kepengerusian ASEAN.
11. Apa yang lebih penting, 38 bulan ini juga, pemantapan agenda Islam dan Bumiputera dapat kita terjemahkan melalui Dasar Tahfiz Negara 2.0, pendidikan Pra-Tahfiz KEMAS bagi lebih 100 ribu kanak-kanak setiap tahun, program Ulul Albab di semua 58 MRSM, pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setaraf Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3, melahirkan golongan Huffaz Profesional, semuanya telah dapat kita laksanakan dengan jayanya. Begitu juga kejayaan kita mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi Gig yang dipengerusikan oleh tokoh kepimpinan UMNO hasil daripada usul yang kita bawa pada Perhimpunan Agung tahun 2023.
Malah, Kongres Ekonomi Bumiputera yang saya Pengerusikan dan dicadangkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2023, telah terlaksana yang melahirkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuT ERA35).
12. Saya percaya, asbab kepada semua pencapaian ini adalah hasil sokongan dan kestabilan politik yang dibawa oleh UMNO. Kestabilan politik bagi tempoh 38 bulan ini menandakan kita telah memasuki fasa untuk menilai dan menentu haluan politik parti bagi menuju ambang PRU yang ke-16.
13. Memang ada tawaran yang terhidang, memang ada yang datang meminang. Namun, sehingga ke hari ini, UMNO tetap melaksanakan amanah kenegaraan.
14. Selagi mana asas kenegaraan ini dihormati, tiada perkara dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati, UMNO akan terus memainkan peranannya dengan penuh tanggungjawab. Sekalipun ribut datang melanda, pokok condong ditiup angin, namun akarnya tetap mencengkam di bumi.
15. Namun, jika ada yang cuba memperlekeh kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap sebagai kelemahan, jika cemuhan dan perlecehan dihamburkan terhadap keluarga besar UMNO, sesungguhnya tindakan ini ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak.
Cabaran politik semasa
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
16. Sepanjang menggalas amanah kenegaraan ini, UMNO sentiasa berpegang kepada asas penubuhannya. Wa’ad kita dalam mempertahankan prinsip orang Melayu, kesucian Islam, kedaulatan institusi negara serta cabang-cabang demokrasi tidak pernah dicairkan. Malah, asas-asas inilah yang menjadi prasyarat kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
17. Namun, disebalik sumbangan dan pertanggungjawaban menggalas amanah kenegaraan ini, UMNO berhadapan dengan sentimen dan penolakan orang Melayu terhadap keberadaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan.
18. Kita membayar pada harga yang mahal. UMNO dihina, dicaci dan dilabelkan sebagai UMDAP. UMNO dikatakan telah mencairkan asas perjuangan. UMNO dituduh khianat terhadap kepentingan Melayu dan Islam, semata-mata mahu berpaut pada dahan kuasa.
Malah UMNO dituduh takut dan tunduk kepada rakan-rakan politik di dalam Kerajaan Perpaduan.
19. Walaupun kita menjunjung titah perpaduan, walaupun kita bersama Kerajaan Perpaduan untuk menyelamatkan negara daripada kemelut berpanjangan, sentimen penolakan ini tidak boleh dikesampingkan.
20. Saya ingin bertanya: Apakah pendirian kita menolak URA dan Pilihanraya PBT, yang akan menghakis hak pemilikan dan meminggirkan suara orang Melayu di bandar, boleh dikatakan sebagai mencairkan agenda perjuangan Melayu? UMNO yang menolak kedua-dua ini.
Apakah kita menolak pengiktirafan Tapak Warisan.
Dunia yang berat sebelah, dikatakan sebagai tunduk kepada agenda pihak lain?
Apakah apabila kita membantah UEC yang mencabar sistem pendidikan negara, dikatakan sebagai tanda kita berkompromi?
Tentu jawapannya, kita tidak pernah mengorbankan manifestasi perjuangan parti keramat ini.
21. Malah, ‘No Anwar No DAP’ menjadi mantra untuk menggambarkan seolah-olah kita mencabuli keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Sedangkan, keputusan ‘No Anwar No DAP No Bersatu’ dibuat sebagai pendirian untuk bergerak solo pada PRU-15 yang lalu. Hakikatnya, kita mengambil keputusan bersama Kerajaan hari ini setelah ada pihak yang menolak titah Yang Di-Pertuan Agong supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan sesama mereka.
22. Kita juga terpalit dengan sentimen kelemahan Kerajaan yang membawa kepada terhakisnya sokongan. Baik daripada kalangan ahli mahupun orang-orang Melayu secara keseluruhannya.
23. Keberadaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan ini juga walaupun atas kepentingan negara, ia telah mengundang keretakan hubungan mesra sesama parti komponen Barisan Nasional. Hinggakan ada yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan yang selama ini menjadi tonggak kestabilan negara.
24. Waima, saban hari turut diratibkan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk Zahid menyelamatkan dirinya. Zahid dikatakan mengenepikan setiakawannya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak. Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada beliau menjadi bahan momokan dan dipersendakan.
25. Apabila menyebut nama Dato’ Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan semua.
26. UMNO, merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar ihsan terhadap hamba Tuanku,
Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan kepada kami semua.
27. Justeru, inilah hakikat perjuangan, kesabaran adalah sebahagian daripada kekuatan. Percayalah saudara saudari, saya dan kepimpinan tidak pekak terhadap suara akar umbi. Segala keluh kesah, keresahan dan desakan termasuk cadangan untuk keluar daripada Kerajaan - didengari, dinilai dan diperhalusi oleh peringkat kepimpinan tertinggi.
Tetapi keputusan yang kita pilih bukan keputusan yang mudah, sebaliknya keputusan yang berpaksikan pertimbangan negara dan maslahah ummah.
28. Jangan khuatir saudara-saudaraku sidang perwakilan sekalian.. Ya... UMNO setia kepada perjanjian. UMNO menghormati semangat kerjasama. UMNO berpegang teguh kepada keputusan kolektif yang dimeterai bersama.
29. Namun, kesabaran UMNO ada batasnya. Kerana dalam menjalin kerjasama sejak Persekutuan Tanah Melayu hinggalah ke hari ini, hubungan yang dibina bukan dengan sandiwara. Kerjasama politik yang dijalin bukan dengan muslihat dan tipu daya.
30. Sebaliknya, UMNO sentiasa berpegang dengan prinsip kesetiaan mesti dibalas dengan penghormatan. Permuafakatan pula mesti diiringi dengan keikhlasan dan kejujuran. UMNO tidak menagih layanan istimewa. Namun UMNO bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan. Jangan ingat UMNO parti kari pullay, parti daun kari.. bila nak masak dicampak dalam kuali, bila dihidang, dikuis ke tepi. Barang harus diingat, UMNO adalah tiang seri kestabilan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
31. Melihat kepada hakikat dan cabaran keberadaan kita di dalam Kerajaan selama tiga tahun ini, parti keramat ini tidak terlepas daripada berhadapan dengan realiti dan cabaran politik semasa. Dapat saya rumuskan tiga (3) realiti utama yang terhampar di hadapan kita:
32. Pertama, realiti politik negara berhubung cabaran politik rentas gabungan kepartian. Lanskap politik masa kini memaksa kita menerima hakikat bahawa tiada satu parti pun yang boleh memerintah bersendirian. Era dominasi mutlak satu-satu gabungan sudah berakhir. Dahulu, Barisan Nasional merupakan gabungan tunggal yang ditunjangi UMNO mentadbir negara.
33. Kini, Kerajaan terbina hasil kerjasama rentas gabungan melibatkan 17 parti gabungan antaranya, gabungan Barisan Nasional, gabungan Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan parti-parti lain seperti Warisan dan KDM.
Gabungan ini diikat dengan perjanjian yang dipersetujui bersama. Ini merupakan suatu realiti baharu yang menuntut kita keluar dari zon selesa politik lama.
34. Ini bukan sesuatu yang mudah. Saya tahu ada di antara kita yang merasa kekok dan skeptikal bekerjasama dengan bekas seteru politik kita. Tetapi inilah tuntutan semasa demi kestabilan negara. Politics is the art of compromise. Politik gabungan menuntut seni berkompromi dan berjiwa besar. Kita mesti belajar bekerjasama tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan.
35. Kita perlu membina konsensus baharu dengan rakan-rakan gabungan, sambil terus menjadi suara yang lantang memperjuangkan agenda agama, bangsa dan tanah air. Cabaran politik gabungan ini adalah ujian kematangan buat kita – apakah kita mampu mengenepikan perbezaan lampau demi masa depan bersama?
36. UMNO mesti memilih: hadapi cabaran ini dengan keberanian dan kejujuran atau terus lemas perlahan-lahan dalam keusangan. Kita bukan sekadar perlukan rombakan struktur. Kita perlukan pembaharuan nilai dan matlamat.
37. Kita tidak perlukan slogan baharu semata-mata. Kita perlukan gagasan yang segar tetapi tetap berakar pada tunjang perjuangan asal. Dan jika ada satu pelajaran besar daripada Perjanjian Hudaibiyah adalah: kemenangan tidak selalu datang melalui jalan lurus. Kadangkala, ia hadir melalui sabar, strategi, dan kompromi yang bijaksana.
38. Kita tidak boleh terus hidup dalam penafian. Kita tidak boleh terus bergantung pada perjanjian yang sudah pincang. Kita tidak boleh terus menghulur tangan yang tidak lagi disambut. Kita tidak boleh terus bertepuk sebelah tangan.
39. Telah tiba masanya kita membentuk satu wadah yang mengikat prinsip, bukan semata-mata mempertahankan posisi atau kedudukan. Telah tiba masanya - UMNO bangkit semula dengan keberanian..dengan kejujuran.. dengan hala tuju yang benar-benar didambakan rakyat.
‘Kalau kena gayungnya, ke hilir dan mudik pun sampai jua’... Yakinlah... ular yang menyusur akar, takkan hilang bisanya’.
Sidang perwakilan sekalian,
40. Kedua, kita berhadapan dengan realiti dinamika politik Melayu dan cabaran identiti. UMNO lahir sebagai suara Melayu – dari akar nasionalisme tulen, dari semangat mempertahankan maruah bangsa.
Tetapi hari ini, kita harus berani mengakui – politik Melayu sedang berpecah. Bukan kerana perbezaan dasar. Tetapi kerana keangkuhan, dendam, dan kerakusan. Kuasa kita yang dahulunya kukuh, kini terlerai kerana pertarungan sesama sendiri. Dahulu semasa kerajaan ditunjangi UMNO, ia memperlihatkan pentadbiran negara dikuasai oleh kaum majoriti iaitu Melayu. Kini apabila senario politik berubah, UMNO tidak lagi dominan atau menguasai kerajaan, muncullah suara yang menyatakan sebagai kaum majoriti, Melayu sepatutnya menguasai. Inilah akibatnya apabila kita diracik-racik, maka melemahlah keindukan politik Melayu. Hilanglah penguasaan kita di dalam pentadbiran negara.
41. Agama dijadikan slogan. Bangsa dijadikan perisai. Sentimen mengambil alih pertimbangan. Rasional diganti dengan kemarahan. Dan dalam hiruk-pikuk itu, majoriti rakyat masih mendambakan pengukuhan parti Melayu untuk mentadbir dengan berkesan.
42. Fenomena ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. Di seluruh dunia, kita melihat kebangkitan parti-parti berhaluan kanan apabila rakyat hilang kepercayaan kepada arus perdana. Di Eropah, Amerika, dan Asia -naratif nasionalisme dan politik identiti kembali mengisi kekosongan harapan rakyat.
43. Soalnya, adakah kita belajar dari trend ini? Percayalah, rakyat tidak menolak agenda Melayu-Islam. Mereka menolak hipokrasi bersandarkan Islam. Mereka menolak jika agama dan bangsa hanya dijadikan sandaran untuk menutup kelemahan.
44. Oleh yang demikian, UMNO perlu tampil sebagai suara Melayu progresif. Yang mempertahankan hak tanpa menindas. Yang menjaga prinsip tanpa memusuhi.
Yang membawa nilai bukan sekadar slogan.
45. Jika kita mahu menyatukan ummah, politik kita mesti kembali kepada nilai, bukan sekadar emosi. Dan UMNO mesti berdiri menerajui - tegas pada prinsip, jelas pada arah.
46. Ketiga, kita mesti bijaksana dalam mendepani Realiti Politik UMNO dan Krisis Keyakinan. Kita juga mesti pintar mengurus keadaan dalaman UMNO terlebih dahulu. Kita harus berani mengakui bahawa UMNO masih relevan, namun, keadaan ini belum pulih sepenuhnya. Ya... api perjuangan itu masih ada bara.
Lihat sahaja kemenangan kita dalam PRK DUN Nenggiri, DUN Mahkota dan DUN Ayer Kuning yang memperlihatkan UMNO masih punya asas dan sokongan di akar umbi. Namun kita akui PRN Sabah menyedarkan kita bahawa pilihan rakyat boleh beralih arah sekelip mata.
47. Dalam konteks sokongan golongan muda umpamanya. Data pasca-PRU15 menunjukkan bahawa hanya 23% pengundi berusia 18–30 tahun memilih Barisan Nasional. Adakah angka ini masih sama, atau tanpa kita sedari ia semakin merosot kerana kita masih terperangkap dalam gaya politik lama.
48. Disamping itu, kita berhadapan dengan fenomena Political Athiest dalam kalangan gen Y dan gen Z. Mereka tidak lagi berpegang pada mana-mana ideologi. Sebaliknya, membuat pertimbangan berdasarkan sentimen dan persepsi. Mereka juga skeptikal terhadap semua bentuk politik. Tidak percaya kepada janji, bahkan tidak mahu terikat dengan mana-mana fahaman atau blok politik.
49. Tambahan pula, jurang antara kehendak rakyat dengan gerak kerja parti kian melebar. Rakyat hari ini tidak cukup dengan khidmat kebajikan semata-mata; mereka mahukan solusi tuntas untuk menyelesaikan masalah harian mereka. UMNO perlu ikhlas membaca sentimen semasa dan berani berubah seiring aspirasi rakyat, jika kita mahu mengembalikan kepercayaan rakyat sepenuhnya.
Buanglah budaya mencari-cari kesalahan. Tinggalkan perangai bekerja hanya jika menjadi calon. Jangan hanya muncul semasa pemilihan.
Jangan hanya ke hadapan bila mencapai kemenangan, tetapi menikus bila dilanda kekalahan. Bila menang, inilah kejayaan kita bersama. Bila kalah, Presiden tanggung segala-galanya.
50. Saudara-saudaraku sekalian, parti ini bukan milik Zahid Hamidi, bukan milik Tok Mat Hassan, bukan milik Tok Wan, bukan milik Tok Khalid atau juga bukan milik Tok Jo. Parti ini milik kita bersama. Jatuh bangun parti ini tanggungjawab kita bersama.
51. Ringkasnya, UMNO tidak boleh lagi bersandarkan nostalgia dan slogan semata-mata. Kita mesti membuktikan value proposition baharu kepada rakyat.
Rebranding atau penjenamaan semula perjuangan perlu disusuli dengan transformasi dalaman secara berdisiplin – bukan bersifat sementara, tetapi perubahan budaya secara total - without fear or favour.
UMNO Rumah Bangsa
Sidang perwakilan sekalian,
52. Memahami tanggungjawab tiga tahun menggalas amanah kenegaraan dan realiti politik semasa, orang-orang UMNO perlu bersedia mengadaptasi dinamika politik dan menerima perkara-perkara baharu di luar norma kebiasaan.
53. Mempertahankan prinsip sahaja tidak memadai. Tanggungjawab UMNO hari ini jauh lebih besar kerana UMNO adalah RUMAH BANGSA, tempat untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu. Bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar.
54. Gagasan Payung Besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO. Tetapi sejarah telah membuktikan, ia tidak mendapat sambutan. Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah.
Rumah UMNO adalah tempat teduhan orang Melayu. Rumah ini juga menjadi penjaga keseimbangan dan keharmonian kaum. Rumah ini jugalah menjadi tempat terciptanya kemakmuran negara.
55. Sejarah rumah bangsa ini tidak akan pernah terpadam. Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu - Pas, Semangat 46, PKR, Bersatu,
Pejuang, Warisan, GRS - bahkan GPS telah turut berkongsi satu roh kenegaraan. Ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras.
56. Ini bukan sejarah untuk dibanggakan secara angkuh, tetapi perlu diinsafi dengan rendah hati. Politik Melayu-Islam tidak boleh terus berselerak. Bak tamsilan pepatah Melayu, “bila biduk lalu, tentu ada ranting yang patah, tentu ada daun yang pecah, tentu ada rimbunan yang terbelah, namun akhirnya, kiambang tetap bertaut”.
57. Bahkan, sabda Rasulullah SAW menyebut bahawa: “seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya saling menguatkan antara satu sama lain”.
58. Sampai bila kita mahu bersengketa, sedangkan bangsa sedang terluka. Tatkala patah sayap bertongkatkan paruh, UMNO mesti tampil sebagai peneraju. Jika perpecahan terus dibiarkan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Maka UMNO harus menjadi jambatan - menyambung ukhuwah yang retak, menyatukan suara yang berselerak.
59. UMNO bukan parti lima tahun pilihan raya. UMNO adalah parti lapan dekad peradaban. Benteng kepada kesinambungan dan kestabilan negara - memikul tanggungjawab memimpin wacana penyatuan, penyelesaian dan masa hadapan.
60. Sebab itulah, meskipun ditekan dan dihimpit dari segenap penjuru, UMNO tetap berdiri teguh membela ummah. Dan selagi UMNO setia kepada prinsip ini - maka selagi itulah UMNO akan kekal sebagai rumah besar bangsa Melayu. Tempat kita kembali membina kekuatan, bukan lagi menambah episod perpecahan.
61. UMNO adalah rumah asal politik Melayu. Dari rumah inilah lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan. Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung – ia menjadi paksi kepada sebuah negara bangsa, rimbunan yang memayungi segenap latar agama, bangsa dan budaya.
62. Namun, rumah ini mesti dijaga. Takkan kita hanya berpeluk tubuh, andai atapnya mula bocor, lantainya mula reput. Rumah ini perlu dibersihkan dari debu keangkuhan, agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.
63. UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali - saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah.. kembalilah.. kembalilah.. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.
64. Memetik pesan Tenas Effendy dalam Tunjuk Ajar Melayu: Apalah tanda Melayu bertuah, pertama pemaaf kedua pemurah, Apalah tanda Melayu bermaruah, memberi maaf ia pemurah, Apalah tanda Melayu beradat, pantang hidup berdendam kesumat, Apalah tanda Melayu beriman, hati pemaaf, pemurah tangan.
65. Untuk itu, pintu RUMAH BANGSA ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan. Justeru, bagi menyambut kembali kepulangan saudara- saudara kita, adik-beradik kita, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke Rumah Bangsa ini.
Saya nak dengar suara sidang perwakilan, adakah kita bersedia untuk menerima saudara-saudara kita kembali ke Rumah Bangsa ini?
Adakah kita semua bersetuju dengan penubuhan dengan jawatankuasa ini?
Pemugaran upaya politik UNMNO
Sidang perwakilan sekalian,
66. Dalam menempuh jalan berliku ke hadapan, UMNO perlu memperkukuhkan pasak-pasak perjuangan bagi memastikan rumah bangsa ini mampu menyediakan landasan untuk mara dengan lebih terarah. Untuk itu, suka saya menggariskan Pemugaran Upaya Politik UMNO yang melibatkan:
67. Pertama pemulihan keyakinan dan sokongan orang Melayu. Pemulihan mesti bermula dengan membetulkan naratif parti di mata rakyat. Ini merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi, memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa.
Justeru, dalam kerangka pemulihan ini, UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
68. Kedua, untuk mendepani perubahan budaya fikir dan pola bekerja, kita mesti bersedia menjadi parti yang sentiasa terbuka terhadap penyertaan dan idea-idea baharu walaupun datangnya daripada luar kerangka parti.
69. Ketiga, untuk melakukan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, kita seharusnya menyedari keadaan sudah berubah, tuntutan generasi juga semakin rencam. Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk-bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa. Ia termasuklah untuk kita mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional. BN telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman. Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan.
Untuk itu, UMNO mencadangkan satu proses rebranding atau penjenamaan semula yang menyeluruh perlu dibuat bagi menghadapi PRU ke 16.
Saudara-saudari perwakilan yang saya kasihi,
70. Kini kita berhadapan dengan kepelikan politik. Dulu ada yang menjadi kawan, tetapi kini menjadi lawan.
Ada yang menikam secara berdepan, ada yang menikam dari belakang. Ada yang menipu terang-terangan, ada yang baling batu sembunyi tangan.
Ada yang bersama di peringkat Persekutuan, tetapi di Negeri bertembung bermati-matian.
71. Pengalaman di Sabah membuktikan kepelikan politik ini. Kita membuat keputusan menentang GRS, tetapi rakan kita boleh pula sepentas bersama mereka.
Kesudahannya, apabila Kerajaan mahu dibentuk, semua pihak duduk semeja atas nama kestabilan politik. Tak ke pelik politik hari ini?
72. Tidak terbayang, andai nanti wujud kerjasama politik antara parti yang berlainan haluan di peringkat Negeri dan juga Persekutuan. Mungkin nanti, kerjasama di peringkat Persekutuan tidak dicerminkan dalam kerjasama politik di peringkat Negeri, kerana kini politik penuh dengan kepelikan.
73. Itulah hakikat politik yang perlu kita hadapi hari ini. Menyongsong PRU ke 16, kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan apa jua kepelikan politik di luar batas kebiasaan. Ia menuntut pengorbanan, kefahaman dan kebersamaan semua peringkat parti.
Baik yang ada di atas pentas, mahupun yang di bawah.
Yang di dalam mahupun yang di luar.
Yang di sini mahupun di kampung halaman.
Yang berjawatan mahupun tidak.
Jangan fikir kepentingan diri sendiri, keutamaan kita adalah UMNO sebagai sebuah parti.
Penutup
Sidang perwakilan sekalian,
74. Perjuangan ini tidak dibina dalam sehari. UMNO telah melalui episod jatuh dan bangun, luka dan sembuh, disalah faham dan diuji berkali-kali. Namun satu yang tidak pernah goyah - semangat setia para ahlinya yang terus berpaut kepada parti ini walaupun ombaknya kencang menghempas bumi.
75. Selagi ada anak bangsa yang perlu dibela, selagi maruah Melayu dan Islam perlu dipelihara - UMNO tidak akan berundur. Kita akan terus memayungi, kerana itulah janji yang dipegang selama ini.
76. Sementara kita inginkan penyatuan, pada waktu yang sama kita dibayangi oleh episod pengkhianatan. Sementara kita ingin pertahankan Perpaduan, kita dilanda sentimen penolakan orang Melayu terhadap keberadaan kita di dalam Kerajaan.
Sejujurnya...
Inilah yang perlu ditangani secara berhikmah.
Mempertimbang antara musibah dan maslahah.
Mengatur langkah agar kita tidak rebah.
Mengorak usaha agar UMNO kembali gagah.
Hari ini kita berdiri bukan untuk menyalahkan.
Sebaliknya, kita berdiri untuk menyatukan.
Mengajak semua yang pernah bersama,
Memeluk erat yang masih setia.
Kita tidak mencari titik perpecahan,
Kita mencari jalan penyatuan.
UMNO ini adalah amanah kita.
UMNO ini perlu kita pikul bersama.
Dengan tekad, dengan setia,
Dengan seluruh jiwa dan raga.
Dengan amanah kenegaraan yang digalas.
Dengan pintu RUMAH BANGSA yang terbuka luas.
Dengan haluan yang semakin jelas.
Dengan hati yang luhur serta ikhlas.
Saya titipkan ucapan ini untuk dibahas.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
