13 Ahli Parlimen Bersatu kekal sokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang

PUTRAJAYA - Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) teguh menyokong dan mengekalkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Whip Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ketetapan itu dibuat secara kolektif dan majoriti selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A.
"Adalah dimaklumkan, seramai 13 Ahli-ahli Parlimen Bersatu secara kolektif dan majoriti telah membuat ketetapan untuk menyokong dan mengekalkan Hamzah," katanya dalam surat yang bertarikh 24 Februari.
13 Ahli Parlimen itu terdiri daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) selain Ronald (Beluran) itu sendiri.
Turut menyokong, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Khair Mohd Nor (Ketereh) dan Zakri Hassan (Kangar).
Selain itu, Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Kalam Salan (Sabak Bernam) serta Islahuddin Abbas (Mersing).
Sebelum ini, Takiyuddin berkata, kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang kekal setakat ini manakala tempat duduk ahli parlimen Bersatu yang dipecat parti juga tidak berubah.
Perkara tersebut disahkan Ahli Parlimen Kota Bharu itu selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 26 Febuari lalu.
Dalam pada itu, Ronald berkata, ahli-ahli Parlimen Bersatu akan terus memberikan tumpuan dan fokus bagi menjulang suara rakyat, mengangkat kepentingan nasional.
"Selain itu, melakukan peranan semak dan imbang dengan penuh tanggungjawab terutamanya dalam sesi Parlimen yang berbaki beberapa hari lagi," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 13 Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang
- Sokongan itu diumumkan melalui surat kepada Ketua Whip PN, ditegaskan dengan peraturan mesyuarat
- Kelompok ini termasuk pelbagai wakil rakyat dari berbagai kawasan
- Status Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan posisi ahli parlimen Bersatu yang dipecat kekal tidak berubah
- Ahli Parlimen Bersatu berfokus untuk meningkatkan kepentingan nasional dan menjalankan peranan semak dan imbang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

