PAU 2025: Zahid rayu ihsan Agong, mohon keringanan hukuman Najib

Ahmad Zahid - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar Shah agar memberikan keringanan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, permohonan tersebut dibuat bagi membolehkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO kembali ke pangkuan keluarga dan parti.

Kata Ahmad Zahid, beliau tidak pernah melupakan Najib yang berada di sebalik tirai besi dan terus setia berhubung dengan bekas Ahli Parlimen Pekan itu walaupun terdapat tuduhan bahawa beliau mahu melepaskan diri.

“Saban hari diratibkan kononnya keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk Zahid menyelamatkan dirinya. Zahid dikatakan mengetepikan setiakawan kepada Najib.

“Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada ‘Bossku’ menjadi bahan momokan dan dipersendakan. Namun apabila menyebut nama Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah.

“UMNO merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong agar ihsan diberikan terhadap hamba Tuanku, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau kembali ke pangkuan keluarga dan kepada kami semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Jumaat.

Ahmad Zahid turut menyampaikan salam daripada Najib kepada semua perwakilan UMNO yang menghadiri PAU 2025.

“Beliau sendiri menghubungi saya dalam kepayahan beliau dan menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan sekalian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, apa yang berlaku ketika ini merupakan hakikat perjuangan dan kesabaran menjadi sebahagian daripada kekuatan parti.

“Percayalah saudara dan saudari, saya dan kepimpinan tidak pekak terhadap suara akar umbi. Segala keluh kesah, keresahan dan desakan termasuk cadangan untuk keluar daripada kerajaan didengari, dinilai dan diperhalusi oleh 13 peringkat kepimpinan tertinggi.

“Namun keputusan yang kita pilih bukan keputusan yang mudah, sebaliknya keputusan yang berpaksikan pertimbangan negara dan maslahah ummah,” jelasnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember lalu memutuskan Najib bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dalam perbicaraan berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah ketika mengumumkan keputusan berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib bagi pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Najib akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama 10 tahun.

Bagaimanapun, kesemua tempoh hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara selama 15 tahun yang akan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC International.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan tersebut selepas meneliti hujahan dan membaca alasan penghakiman selama hampir sejam, sekali gus memerintahkan Najib meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukuman.

Ringkasan AI

  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong agar memberikan keringanan hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
  • Permohonan ini supaya Najib dapat kembali ke pangkuan keluarga dan parti
  • Ahmad Zahid menyatakan sokongannya yang tidak pernah berubah kepada Najib walaupun terdapat tuduhan beliau ingin melepaskan diri dari hubungan tersebut
  • Najib dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB
  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, memerintahkan beliau meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!