AS-Israel jolok sarang tebuan

Serangan AS-Israel ke atas Iran merupakan titik perubahan yang berpotensi mengheret Asia Barat malah dunia ke dalam konflik yang jauh lebih besar dan kompleks.
Serangan AS-Israel ke atas Iran merupakan titik perubahan yang berpotensi mengheret Asia Barat malah dunia ke dalam konflik yang jauh lebih besar dan kompleks.
A
A
A

GELOMBANG serangan mengejut dilancarkan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu kuatnya, Israel terhadap Iran bukan sekadar episod operasi ketenteraan biasa di Asia Barat.

Ia merupakan titik perubahan yang berpotensi mengheret rantau tersebut malah dunia ke dalam konflik yang jauh lebih besar dan kompleks.

Tindakan melulu di bawah Operasi Epic Fury dan Lion’s Roar tersebut ibarat seperti ‘menjolok sarang tebuan’ kerana Teheran bukanlah negara yang boleh diperkotak-katikkan dengan mudah.

Iran memiliki rangkaian sekutu strategik dan kumpulan proksi bersenjata di Lubnan, Syria, Iraq dan Yemen.

Hal ini bermakna serangan ke atas Teheran bukan sekadar menekan sebuah negara, tetapi menyentuh keseluruhan paksi pengaruh yang dibinanya sejak beberapa dekad lalu.

Antara senario yang mungkin berlaku, pejuang Hizbullah yang menjadi penyokong kuat Iran mungkin menggempur Israel manakala kumpulan Huthi berpusat di Yemen kembali menyasarkan laluan perkapalan di Laut Merah.

Dalam masa sama, pangkalan tentera AS di Baghdad dan Damsyik juga berisiko menjadi sasaran balas oleh anggota milita pro-Iran yang beroperasi di negara berkenaan.

Kondisi tersebut akan mengubah konflik tiga hala menjadi peperangan pelbagai medan yang melibatkan banyak aktor.

Dunia dijangka merasai tempias paling awal dalam sektor ekonomi dengan industri tenaga menjadi antara yang paling terkesan.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan Iran yang strategik berhampiran Selat Hormuz menjadikan negara itu pemain penting dalam rantaian bekalan minyak global. Hampir satu perlima bekalan minyak dunia melalui laluan sempit tersebut.

Harga minyak mentah berpotensi melonjak secara mendadak jika Teheran bertindak menutup laluan itu.

Lonjakan harga tenaga akan meningkatkan inflasi global, membebankan kos makanan dan barangan asas serta menggugat kestabilan ekonomi negara pengimport minyak.

Di peringkat kuasa besar, konflik tersebut turut membuka ruang kepada pertembungan blok geopolitik.

Hal ini kerana, Iran mempunyai hubungan strategik yang erat bersama Rusia dan China. Sokongan ketenteraan, ekonomi atau diplomatik kepada Teheran boleh mengubah imbangan kuasa dan meningkatkan ketegangan global meskipun kedua-dua negara itu mungkin tidak terlibat secara langsung dalam peperangan.

Dunia yang sebelum ini sudah tertekan dengan konflik berasingan berisiko memasuki fasa konfrontasi kuasa besar lebih terbuka yang mengancam kemungkinan tercetusnya Perang Dunia Ketiga.

Permasalahan paling sensitif dalam keseluruhan konflik ini tetap berkisar kepada program nuklear Iran yang berulang kali dibangkitkan oleh AS dan Israel sebagai isu utama sengketa tiga hala tersebut.

Tidak mustahil Teheran meningkatkan keupayaan nuklear mereka untuk membangunkan semula senjata selepas projek itu dihentikan lebih dua dekad lalu sekiranya pemerintah berasa terancam. Perkembangan sedemikian dikhuatiri mencipta kitaran konflik yang lebih berbahaya kerana setiap tindak balas memprovokasi pihak lawan akan mendorong respons lebih agresif.

Sejarah konflik di Asia Barat menunjukkan peperangan di rantau itu jarang berakhir dalam waktu singkat malah kesannya boleh berlanjutan sehingga beberapa dekad.

Persoalan utama kini adalah sama ada semua pihak masih mempunyai ruang untuk diplomasi sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Sekiranya perang tersebut merebak, ia berpotensi menggoncang ekonomi dunia, meningkatkan risiko konflik nuklear, mempercepat pembentukan blok kuasa baharu dan mengubah keseimbangan geopolitik antarabangsa untuk tempoh yang panjang.

Dalam erti kata lain, apa yang bermula sebagai serangan taktikal boleh berubah menjadi peristiwa yang membentuk semula landskap politik global.

Ringkasan AI

  • Gelombang serangan mengejut dilancarkan Amerika Syarikat bersama Israel terhadap Iran
  • Ini berpotensi mengheret dunia ke dalam konflik yang lebih besar dan kompleks
  • Iran memiliki rangkaian sekutu strategik dan kumpulan proksi bersenjata
  • Konflik ini boleh mengubah konflik tiga hala menjadi peperangan pelbagai medan
  • Dunia berisiko memasuki fasa konfrontasi kuasa besar yang mengancam kestabilan geopolitik global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!