Kedah akan jadi kubur politik PKR - Sanusi

KUALA KEDAH – Sasaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu hanya angan-angan, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah dan Pengerusi PN negeri berkata, Kedah bukan kubu kuat PKR, sebaliknya bakal menjadi kubur politik parti berkenaan sekiranya terus berhasrat menawan negeri itu.
“PKR berhasrat jadikan Kedah kubu kuat mereka. Kita nak maklum, silalah datang, tapi kami akan jadikan kubur untuk mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Teluk Bagan di sini.
Pada 13 Februari lalu, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyuarakan keyakinan untuk menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu selepas kejayaan menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu, khususnya di selatan negeri ini.
Anwar menyatakan bahawa negeri ini mampu ditawan semula berdasarkan kekuatan semasa parti yang disifatkan berada pada tahap terbaik.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, ahli Pas perlu menggandakan usaha bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak terus mentadbir negara.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu penghinaan agama yang menurutnya mencerminkan kelemahan kuasa politik umat Islam.
Dakwanya, tindakan segelintir pihak yang menghina agama termasuk memijak al-Quran dan menghasilkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW berlaku kerana pihak yang diberi amanah menjaga agama dan kuasa politik dilihat terlalu berlembut.
“Bila kuasa politik orang Islam lemah, orang sudah tidak gerun. Banyak peristiwa yang melambangkan lemahnya kekuatan izzah Islam yang semakin menurun,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional dan Pas Pusat kata Kedah bukan kubu kuat PKR tetapi bakal jadi kubur politik mereka
- Muhammad Sanusi Md Nor menganggap hasrat PKR menjadikan Kedah sebagai kubu kuat hanya angan-angan
- Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan untuk menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti berdasarkan kekuatan semasa
- Sanusi menyeru ahli Pas untuk menggandakan usaha bagi memastikan PH tidak terus mentadbir negara
- Menganggap penghinaan agama mencerminkan kelemahan kuasa politik umat Islam dan menyentuh isu kelemahan izzah Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

