Syed Saddiq sah tidak tanding pemilihan Muda

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan tidak akan bertanding dalam pemilihan sulung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) susulan kes mahkamah yang dihadapinya masih berjalan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, alasan utama yang menghalang untuk bertanding disebabkan ikrarnya untuk membersihkan nama daripada tuduhan penyelewengan terlebih dahulu.
"Saya mengasaskan Muda dengan kepercayaan yang mudah tetapi tegas bahawa politik mestilah bersih, kepimpinan mestilah putih dan Malaysia berhak memiliki institusi lebih kuat daripada mana-mana individu.
"Muda sedang membuat persiapan untuk pemilihan parti yang pertama. Untuk membiarkan perjalanan perundangan peribadi saya, walau seadil mana pun ia dipersoalkan, menghalang sebuah parti yang dibina atas agenda reformasi adalah sesuatu yang cuai.
"Muda mesti bergerak ke hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menegaskan, meskpun Mahkamah Rayuan telah membebaskannya dengan keputusan sebulat suara, ia merupakan satu keputusan yang jelas dan muktamad.
Namun ujarnya, kerajaan memilih untuk merayu pembebasan penuh dan akan menghadapi proses tersebut dengan sabar dan telus.
"Saya tidak melarikan diri, tidak menangguhkan dan tidak menghalang.
"Sehingga nama saya dibersihkan sepenuhnya dan secara muktamad, adalah tidak wajar untuk saya memohon mana-mana jawatan yang boleh mengganggu, memecah-belahkan atau menggagalkan gerakan yang kita mulakan bersama.
"Saya akan terus percaya, menyokong dan mempertahankan nilai-nilai yang menjadi asas penubuhan Muda dan akan terus menunggu dengan tenang, teguh serta penuh keyakinan untuk membersihkan nama saya sepenuhnya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan bertanding dalam pemilihan Muda disebabkan kes mahkamah yang dihadapinya
- Alasan utama tidak bertanding adalah kerana ingin membersihkan nama dari tuduhan penyelewengan dahulu
- Syed Saddiq berpendapat politik mestilah bersih dan kepimpinan mestilah putih
- Beliau menyatakan Muda mesti bergerak ke hadapan tanpa membiarkan perundangan peribadinya menghalang agenda reformasi parti
- Syed Saddiq akan menunggu hingga nama dibersihkan sepenuhnya sebelum memohon mana-mana jawatan dalam parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

