Gas pendingin hawa meletup: Bomba jalankan siasatan menyeluruh

BATU KAWAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar letupan gas pendingin hawa di universiti swasta di ibu negara, pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, berikutan itu pihaknya memerlukan kira-kira dua minggu untuk melengkapkan siasatan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai punca kejadian.
Menurutnya, tempoh siasatan bergantung kepada tahap kerumitan analisis termasuk ketersediaan peralatan seperti mesin GC-MS (Gas Chromatography Mass Spectrometry).
"Sekiranya kelengkapan mencukupi, siasatan boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira seminggu. Namun, ada ketika mesin berkenaan memerlukan masa lebih lama.
"Jika siasatan memerlukan teknologi atau peralatan yang lebih canggih, sampel akan dirujuk ke makmal luar yang bertauliah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan Dengan Kerjasama Biro Kebajikan PERISMA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Batu Kawan, di sini pada Khamis.
Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang kontraktor berusia 24 tahun maut, manakala sembilan cedera apabila sebuah kompresor unit pendingin hawa meletup di sebuah universiti swasta di Jalan Semantan, Bukit Damansara.
Letupan terbabit berlaku di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan dengan kafeteria di tingkat empat bangunan berkenaan.
Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan.
Mangsa yang cedera terdiri daripada empat orang pelajar, dua warga Indonesia merupakan pekerja kafeteria mengalami cedera ringan manakala dua kontraktor tempatan alami cedera parah.
Ringkasan AI
- JBPM akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca letupan gas pendingin hawa di universiti swasta di ibu negara
- Siasatan mungkin memerlukan kira-kira dua minggu untuk melengkapkan bergantung kepada kerumitan dan ketersediaan peralatan analisis
- Kemungkinan menggunakan mesin GC-MS dalam analisis dan jika peralatan tidak mencukupi, sampel akan dirujuk ke makmal luar yang bertauliah
- Letupan mengakibatkan seorang kontraktor berusia 24 tahun maut dan sembilan individu cedera
- Mangsa yang cedera terdiri daripada pelajar dan pekerja kafeteria, dengan beberapa mengalami cedera parah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

