Cubaan seludup 37 PATI gagal, bot fiber laju dipintas

KUALA KEDAH – Cubaan menyeludup masuk 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut dari negara jiran gagal apabila bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki mereka dipintas pihak berkuasa pada jam 5.30 pagi, Sabtu.
Bot laju berkenaan dikesan pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Sayak, Kuala Muda dalam operasi risikan bersepadu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot tersebut dipercayai membawa masuk PATI dari Tanyong Po (Tanjung Pauh), Satun, Thailand sebelum cuba merapat ke persisiran pantai Pulau Sayak.
“Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan cuba mendaratkan kesemua individu untuk melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota operasi berjaya menahan kesemua 37 individu terbabit,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kuala Kedah di sini pada Ahad.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 32 warga Myanmar, tiga warga Bangladesh dan dua lelaki warga Thailand yang dipercayai bertindak sebagai tekong serta kru bot.
Jelasnya, kesemua tangkapan melibatkan 36 lelaki dewasa berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Romli berkata, siasatan awal mendapati setiap PATI dipercayai membayar kira-kira RM15,000 seorang untuk masuk ke negara ini melalui jalan laut.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan bot laju bagi mengurangkan risiko dikesan berbanding penggunaan kapal kayu bersaiz besar seperti sebelum ini.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menemukan tiga kenderaan di daratan iaitu dua kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar PATI dari lokasi pendaratan.
Beliau memberitahu, dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut darat turut ditahan.
“Kesemua tangkapan bersama bot dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM215,000 dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan masih terdapat sindiket lain yang cuba membawa masuk ratusan PATI ke negara ini dan pihaknya akan terus memperkukuh operasi risikan serta rondaan bersepadu.
Ringkasan AI
- Cubaan menyeludup 37 pendatang asing tanpa izin melalui laut gagal dipintas pihak berkuasa di Kuala Kedah
- Bot tanpa nombor pendaftaran dari Tanyong Po, Thailand, dikesan dekat Pulau Sayak pada awal pagi
- Pasukan operasi berjaya menahan kesemua individu yang cuba lari ke hutan berhampiran setelah bot dikesan
- Tangkapan melibatkan warga Myanmar, Bangladesh, dan Thailand dengan bayaran RM15,000 seorang untuk masuk Malaysia
- Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan ATIPSOM dengan pihak berkuasa memperkukuh operasi risikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

