Mahasiswa tuntut reformasi tadbir urus universiti

KUALA LUMPUR – Gabungan mahasiswa menuntut reformasi menyeluruh terhadap tadbir urus universiti awam susulan dakwaan wujudnya kelemahan dalam pengurusan perolehan, ketelusan kewangan serta campur tangan politik yang didakwa membuka ruang kepada penyelewengan dana awam.
Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan berkata, mahasiswa menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi mewajibkan pendedahan berkala senarai tender dan projek yang dimasuki oleh Lembaga Pengarah serta Jawatankuasa Perolehan Tender universiti awam.
"Ia bagi membolehkan semakan telus oleh pihak berkepentingan yang sah termasuk auditor bebas dan agensi penguatkuasaan.
"Sebahagian besar kewangan universiti awam dibiayai melalui dana awam, cukai rakyat dan yuran pelajar, justeru rakyat berhak mengetahui bagaimana peruntukan tersebut dibelanjakan bagi memastikan akauntabiliti dan integriti proses perolehan sentiasa terpelihara," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Brendon Gan berkata, mahasiswa turut mendesak pelaksanaan mekanisme pemantauan luaran bebas menerusi integrasi Independent Expert Monitoring dalam sistem perolehan universiti awam bagi menutup ruang rundingan terus tanpa justifikasi kukuh, selain mengukuhkan amalan tender terbuka sedia ada.
"Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan intervensi menyeluruh terhadap sistem perolehan universiti awam yang didakwa menunjukkan unsur rasuah bersifat sistemik, termasuk membuka siasatan ke atas semua universiti awam di negara ini.
"Langkah berkenaan perlu susulan siasatan rasmi yang dibuka terhadap kes perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1 Januari lalu yang didakwa mempunyai persamaan modus operandi dengan beberapa institusi lain," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze berkata, mahasiswa juga menegaskan audit dalaman semata-mata tidak mencukupi untuk membendung penyelewengan.
"Sebaliknya audit forensik bebas perlu dijalankan terhadap semua tender, projek pembangunan, kontrak konsesi dan pelaburan universiti awam yang melibatkan dana awam dan yuran pelajar.
"Audit tersebut dicadangkan dilaksanakan oleh badan profesional bebas di luar struktur universiti dan laporan perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Universiti, Jabatan Audit Negara serta didedahkan kepada umum bagi memulihkan kepercayaan masyarakat," katanya.
Yi Ze berkata, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat diminta diperluaskan secara jelas ke dalam konteks universiti awam bagi melindungi pelajar dan warga universiti yang tampil melaporkan salah laku daripada sebarang bentuk tindakan balas institusi.
"Gabungan mahasiswa turut menuntut supaya satu kuota khas diberikan kepada wakil Kesatuan Mahasiswa atau Majlis Perwakilan Pelajar untuk menganggotai Lembaga Pengarah Universiti bagi memastikan suara mahasiswa sebagai pemegang taruh utama tidak terus diketepikan.
"Penglibatan wakil pelajar dalam lembaga berkenaan mampu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang substantif serta mengelakkan keputusan bersifat eksklusif dan elit dalam pengurusan universiti awam," katanya.
Ringkasan AI
- Gabungan mahasiswa menuntut reformasi tadbir urus universiti awam untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan penyelewengan
- Mahasiswa mendesak pendedahan berkala tender dan projek universiti awam untuk semakan publik
- Desakan untuk pelaksanaan mekanisme pemantauan luaran dan tender terbuka untuk menutup ruang kepada penyelewengan
- Mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap sistem perolehan universiti
- Menggesa perlindungan bagi pemberi maklumat dan kuota khas bagi wakil mahasiswa dalam Lembaga Pengarah Universiti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
