Agong zahir nasihat penjawat awam kekal integriti, perkukuh tadbir urus

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku di sini pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku di sini pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada seluruh penjawat awam supaya sentiasa mengekalkan integriti serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah, penjawat awam merupakan tunjang utama pentadbiran negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Baginda  turut menekankan, kepentingan budaya kerja berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan selain menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan hingga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Titah nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku di sini pada Khamis.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu semasa perkhidmatan awam termasuk usaha memperkasa tatakelola dan pengukuhan tadbir urus.

Sementara itu, hantaran berasingan memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima mengadap Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Ibrahim Darus, yang berlangsung di lokasi sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menasihatkan penjawat awam supaya mengekalkan integriti dan amanah
  • Penjawat awam dianggap sebagai tunjang utama pentadbiran negara
  • Sultan Ibrahim menekankan kepentingan budaya kerja yang berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan
  • Nasihat itu diberikan semasa menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
  • Seri Paduka Baginda juga menerima taklimat mengenai isu semasa dan usaha memperkasa tatakelola perkhidmatan awam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!