Tragedi Gunung Liang tuntut reformasi SOP aktiviti mendaki

INSIDEN yang meragut nyawa pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34 tahun di puncak Gunung Liang pada 17 Oktober 2025 mencetuskan pelbagai persoalan tentang sejauh mana nilai setia kawan dan tanggungjawab kebersamaan yang diamalkan dalam komuniti pendakian.
Walau apa juga situasi, malim gunung yang bertindak sebagai sweeper tidak boleh meninggalkan mana-mana pendaki di belakang seorang diri terutama jika pendaki tersebut sedang mengalami kesakitan sehingga hilang upaya berjalan.
Sweeper bertanggungjawab menemani pendaki terakhir dan berada bersama-sama meskipun terpaksa berhenti rehat lama atau membuka khemah kecemasan untuk bermalam di laluan pendakian.
Sebaiknya, seorang lagi pendaki perlu berada dalam kelompok terakhir ini bagi membantu sweeper jika pendaki yang kesakitan itu berdepan situasi lebih serius.
Pada masa sama, pendaki lain yang berada di hadapan kerana lebih laju berjalan perlu berhenti di kem berikutnya bagi menunggu pendaki kelompok terakhir sampai di lokasi perhentian itu.
Selepas kesemua mereka berkumpul, baharulah kelompok laju boleh meneruskan perjalanan ke kem berikutnya.
Jika kelibat kelompok terakhir tidak muncul untuk tempoh beberapa jama, pendaki laju itu perlu berpatah balik mencari keberadaan pendaki terakhir.
Kes Allahyarham Mustaqqeem mencetuskan pelbagai persoalan apabila rakannya yang lain hanya berpatah balik sebaik mereka sampai titik penamat sebelum bertembung dengan sweeper di tengah jalan seorang diri.
Tindakan sweeper meninggalkan Mustaqqeem yang mungkin dengan alasan untuk mendapatkan bantuan, sama sekali bercanggah dengan etika asas pendakian yang menekankan prinsip 'tidak meninggalkan sesiapa di belakang'.
Insiden yang menimpa Mustaqqeem mendedahkan sisi gelap aktiviti mendaki apabila ramai pendaki berkongsi pengalaman pernah ditinggalkan di belakang kerana tidak mampu berjalan laju atau mengalami kecederaan dan kesakitan.
Walau apa jua alasan, setiap pendaki perlu sedar bahawa aktiviti mendaki adalah pilihan mereka sendiri maka suka atau tidak, mereka perlu bertanggungjawab melindungi antara satu sama lain tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang.
Keberkesanan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) juga perlu dipertingkat dan tragedi ini menuntut reformasi prosedur standard operasi (SOP) aktiviti pendakian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
