Suspek kemalangan maut di lampu isyarat ada rekod rawatan psikiatri - Polis

Suspek (duduk, kanan) selepas terlibat kemalangan maut di di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada Isnin.
Suspek (duduk, kanan) selepas terlibat kemalangan maut di di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis mengesahkan suspek yang terlibat dalam kemalangan maut di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan di sini pada Isnin mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak Januari tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu pernah beberapa kali mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disahkan menghidap MDD sejak Januari 2025.

"Pengesahan itu diperoleh hasil semakan rekod rawatan hospital yang dijalaninya sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, semakan pemilikan kenderaan telah dibuat melalui rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapati kereta dipandu suspek milik adiknya dan bukan kenderaan curi seperti ditularkan di media sosial.

"Sebelum kejadian kemalangan suspek disyaki menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang parkir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM200 milik pemilik kenderaan berkenaan.

"Selepas itu suspek masuk semula ke dalam Honda Jazz dan memecut laju kereta sebelum terlibat kemalangan," ujar beliau.

Azli berkata, maklumat tular sebelum ini mengatakan suspek meninggal dunia adalah tidak benar kerana lelaki tersebut mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka di badan dan masih menerima rawatan di HSNZ.

"Keadaan suspek stabil cuma perlu jalani pembedahan pada tangan kerana kecederaan dialami agak teruk," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Dalam perkembangan sama, polis menegaskan orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

"Kita harap orang ramai dapat berhenti daripada menularkan maklumat tidak sahih bagi menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa.

"Selain itu, ia juga memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan Syakirah Hanan yang juga Pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA maut di lokasi kejadian selepas Perodua Viva dipandu dirempuh Honda Jazz dalam kejadian kira-kira jam 1.35 petang.

Jenazah Allahyarham yang selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 10.45 malam di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah di sini sekitar jam 12.30 tengah malam pada Isnin.

 

Ringkasan AI

  • Suspek kemalangan maut di Kuala Terengganu mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disahkan menghidap Major Depressive Disorder sejak Januari tahun lalu
  • Suspek, lelaki berusia 32 tahun, mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu
  • Kereta yang dipandu suspek semasa kemalangan adalah milik adiknya, bukan kenderaan curi
  • Suspek terlibat dalam curi barangan termasuk wang tunai RM200 sebelum kemalangan
  • Suspek stabil dan akan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!