'Tak sangka anak saya dalam kereta remuk di lampu isyarat'

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa tidak menyangka bahawa kereta yang remuk teruk dalam kemalangan tragis di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, rupa-rupanya dipandu oleh anaknya sendiri.
Bapa mangsa, Mazli Yusoh, 51, berkata, dia ternampak kemalangan melibatkan dua buah kenderaan ketika melalui kawasan itu sekitar jam 1.30 tengah hari.
"Dari jauh saya nampak ada kemalangan. Keadaan kereta memang teruk dan masa lalu kawasan kemalangan tu, saya ternampak ada seorang lelaki memakai baju kuning di tempat kejadian.
"Waktu tu saya tak terfikir langsung itu kereta yang dipandu anak saya dan saya teruskan perjalanan," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada Isnin.

Menurut Mazli, dia kemudian menerima panggilan daripada pegawai trafik yang memaklumkan nombor pendaftaran kenderaan terlibat adalah atas namanya.
"Apabila pegawai trafik menghubungi dan menyebut nombor pendaftaran kereta itu atas nama saya, saya terus terkejut dan berpatah balik.
"Ketika itu barulah saya dimaklumkan anak saya yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya.
Dalam kejadian itu, anaknya, Syakirah Hanan, 25, yang juga pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Mazli berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah sebelum kejadian, ketika anaknya memaklumkan mahu ke perpustakaan dan menguruskan beberapa perkara berkaitan pengajian.
Katanya, arwah merupakan seorang anak yang baik, sangat rapat dengannya dan sering berkongsi masalah, terutama berkaitan perancangan pengajian.
"Saya masih terkejut kerana pemergiannya berlaku secara tiba-tiba. Tapi sebagai orang Islam, saya reda dan menerima ketentuan ini sebagai takdir ALLAH SWT," katanya.
Mazli mengakui dia agak terkilan kerana hasrat arwah yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Islam dan bercita-cita menjadi seorang guru agama mengikut jejak langkahnya tidak kesampaian.
Katanya, sebelum ini arwah telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir, sebelum menyambung Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) dalam bidang Pendidikan Islam di UniSZA sejak tahun lalu.
Menurutnya, arwah yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dijangka menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wataniah, Jerteh, Besut bermula Mac depan.
"Saya dan ibu arwah kedua-duanya guru. Saya mengajar di SMK Putra, Besut manakala isteri saya, Nurul Huda Ibrahim, 50, bertugas di SMK Nasiruddin Shah.
"Memang harapan kami agar arwah mengikut jejak langkah menjadi pendidik. Namun, hasrat itu tidak kesampaian. Saya reda dan pasrah atas ketentuan ini," ujarnya.
Jenazah Allahyarham Syakirah Hanan dijangka dibawa pulang ke kampung halaman di Kuala Bekah, di sini, untuk urusan pengebumian selepas proses bedah siasat selesai.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar UniSZA maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat JPJ, di sini pada Isnin.
Ringkasan AI
- Bapa tidak menyangka kereta yang remuk dalam kemalangan dipandu oleh anaknya sendiri
- Beliau menerima panggilan dari pegawai trafik yang memaklumkan kejadian tersebut
- Anaknya, Syakirah Hanan, 25, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin meninggal dunia akibat kecederaan parah
- Syakirah merupakan anak yang baik dan rapat dengan bapa, bercita-cita menjadi guru agama
- Jenazah Syakirah Hanan dijangka dibawa pulang ke Kuala Bekah untuk urusan pengebumian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
