Kejatuhan dramatik Nicolas Maduro

SELEPAS lebih sedekad memegang kuasa, pemerintahan autoritarian Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berakhir dalam satu kejatuhan yang dramatik dan mengejutkan dunia.
Maduro 'ditawan' oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dengan foto dikongsikan Presiden Donald Trump memaparkan beliau berpakaian sut sukan kelabu ketika diterbangkan keluar dari Caracas selepas kempen pencerobohan berskala besar yang menggegar ibu kota pada awal pagi Sabtu.
Bekas pemandu bas berusia 63 tahun itu disingkirkan menerusi 'rampasan kuasa tidak sah' dilancarkan Washington yang mencetuskan gelombang kritikan sekutunya dan pemimpin dunia selepas pemimpin sosialis itu didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah terancang termasuk sindiket pengedaran dadah serta penyalahgunaan kuasa.
Tekanan antarabangsa, sekatan ekonomi dan konflik dalaman akhirnya melemahkan cengkaman Maduro yang memegang tampuk kepimpinan negara Amerika Latin itu selama lebih 12 tahun.

Pada awalnya, Maduro dilihat sebagai pewaris legasi Revolusi Bolivarian yang diasaskan oleh pendahulunya, Hugo Chavez yang disegani atas karisma kepimpinannya.
Pemimpin haluan kiri itu bagaimanapun berdepan cabaran besar sejak awal pemerintahannya dek kejatuhan harga minyak dunia, salah urus ekonomi dan rasuah yang berleluasa hingga menjejaskan ekonomi negara tersebut.
Inflasi melampau, kekurangan makanan dan ubat-ubatan serta nilai mata wang yang merudum memaksa jutaan rakyat meninggalkan Caracas, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar dalam sejarah negara Amerika Selatan.
Beliau yang dilabel sebagai diktator oleh pengkritiknya turut dituduh melakukan penindasan politik kerana memegang kuasa besar dengan mengawal sistem pilihan raya, badan kehakiman, angkatan tentera selain mendapat kesetiaan kumpulan militia yang berpengaruh.
Kejatuhan Maduro membuka lembaran baharu bagi Caracas, namun cabaran yang menanti amat besar terutamanya rizab minyak yang kini berada dalam ancaman penguasaan AS.
Negara itu juga perlu membina semula ekonominya, memulihkan institusi demokrasi dan mengembalikan kepercayaan rakyat serta masyarakat antarabangsa.
Nasib Maduro pula mencetuskan tanda tanya selepas beliau bersama isterinya, Cilia Flores dijangka tampil di mahkamah New York untuk menghadapi pertuduhan berkomplot dalam keganasan berkaitan dadah dan bersekongkol mengimport kokain serta kesalahan berkaitan senjata.
Ringkasan AI
- Pemerintahan autoritarian Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berakhir selepas lebih sedekad memegang kuasa
- Maduro 'ditawan' oleh tentera Amerika Syarikat dan diterbangkan keluar dari Caracas
- Disindir sebagai diktator, Maduro dituduh terlibat dalam jenayah terancang termasuk sindiket pengedaran dadah
- Ekonomi Venezuela merosot disebabkan kejatuhan harga minyak, salah urus ekonomi, dan rasuah
- Maduro dan isterinya, Cilia Flores, dijangka tampil di mahkamah New York atas pertuduhan berkaitan dadah dan kesalahan berkaitan senjata
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

