Pelan AS untuk Venezuela: Ambil minyak, pinggirkan pemimpin demokratik

WASHINGTON – Selepas Amerika Syarikat (AS) menahan pemimpin Venezuela, siapa yang akan mentadbir negara itu?
Menurut Presiden Donald Trump, jawapannya ialah pentadbiran AS sendiri dan bukannya pembangkang demokratik Venezuela.
Trump juga menjelaskan bahawa syarikat-syarikat AS akan meraih keuntungan daripada minyak Venezuela yang memiliki rizab terbesar di dunia selepas tentera AS menyerang ibu kota Caracas dan menahan pemimpin berhaluan kiri, Nicolas Maduro, pada waktu malam.
Trump, yang selama bertahun-tahun mengecam apa yang disifatkannya sebagai kegagalan AS dalam pembinaan negara berkata secara terus terang bahawa AS akan menguruskan Venezuela, sebuah negara berpenduduk hampir 30 juta orang buat sementara waktu.
“Kami akan mentadbir negara ini sehingga tiba masanya kami boleh melakukan peralihan yang selamat, wajar dan berhemah,” dakwa Trump dalam satu sidang media di Florida.
Masih tidak jelas bagaimana Trump akan mentadbir negara itu tatkala kedutaan AS di negara berkenaan ditutup dan tiada tentera AS diketahui berada di darat.
Trump berkata, AS sedang menetapkan pelbagai individu termasuk satu kumpulan yang tidak dinamakan.
Namun beliau menambah bahawa untuk satu tempoh masa, Venezuela akan dipimpin oleh orang-orang yang berdiri betul-betul di belakang saya, Setiausaha Negara Marco Rubio dan para pemimpin tentera AS.
Rubio, musuh ketat golongan kiri Amerika Latin, selama berbulan-bulan menekankan bahawa bukan sahaja AS, malah kebanyakan negara Barat menganggap Maduro tidak sah, susulan dua pilihan raya yang menurut pemerhati dipenuhi ketidakaturan.
Namun beberapa jam selepas Maduro ditangkap, Trump mengetepikan prospek Maria Corina Machado, pemimpin pembangkang yang memenangi Hadiah Keamanan Nobel tahun lalu dan dipuji pemimpin Barat sebagai wakil rakyat Venezuela yang dilihat sebelum ini layak sebagai pengganti.
“Saya rasa amat sukar untuk beliau menjadi pemimpin,” kata Trump.
“Dia tidak mempunyai sokongan dalaman atau penghormatan dalam negara. Dia seorang wanita yang baik, tetapi dia tidak mempunyai penghormatan,” katanya.

Bekerjasama dengan Naib Presiden
Trump berkata AS tidak menghubungi Machado, yang menyambut penangkapan Maduro sebagai detik kebebasan.
Sebaliknya, Trump berkata Rubio telah berbincang melalui telefon dengan Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, tokoh utama gerakan kiri Maduro dan mendiang pendahulunya, Hugo Chavez.
“Dia pada asasnya bersedia melakukan apa yang kami fikir perlu untuk menjadikan Venezuela hebat semula. Sangat ringkas,” kata Trump.
Namun Rodriguez tidak mengikut skrip Trump dalam ucapannya kepada rakyat negara itu, dengan menegaskan Maduro adalah satu-satunya presiden dan menuntut kepulangannya.
Kebanyakan sekutu AS, yang sebelum ini bersatu menentang Maduro, dengan pantas menjauhkan diri daripada Trump.
Presiden Perancis Emmanuel Macron, walaupun mengalu-alukan berakhirnya 'kediktatoran Maduro' berkata kehendak rakyat Venezuela diwakili oleh Edmundo Gonzalez Urrutia, tokoh pembangkang dan sekutu Machado yang dilihat komuniti antarabangsa sebagai pemenang sah pilihan raya 2024.
Kevin Whitaker, bekas Diplomat Kanan AS yang berpengalaman mengendalikan hal ehwal Amerika Latin termasuk Venezuela, berkata beliau amat terkejut mendengar Trump menidakkan peranan Machado.
“Ini kelihatan seperti satu keadaan di mana pentadbiran Trump, sekurang-kurangnya dari segi penampilan ketika ini, membuat keputusan mengenai masa depan demokratik Venezuela tanpa merujuk kembali kepada keputusan demokratik pilihan raya itu," kata Whitaker yang kini bersama badan pemikir Atlantic Council.
Lebih banyak perkara sama bagi rakyat Venezuela?
Rodriguez secara perlembagaan perlu memanggil pilihan raya baharu. Namun penganalisis berkata masih belum pasti sama ada Rodriguez, seperti Maduro, benar-benar bersedia menyerahkan kuasa.
"Kenaikan Rodriguez mungkin membawa hubungan yang lebih baik dengan AS, tetapi saya tidak pasti ia akan membawa perubahan besar kepada rakyat Venezuela,” kata Iria Puyosa, sarjana Venezuela yang juga bersama Atlantic Council.
Maduro dan Chavez selama bertahun-tahun mencabar AS, mengecam imperialisme AS sambil meneruskan ekonomi sosialis yang akhirnya runtuh dan mencetuskan penghijrahan berjuta-juta rakyat.
Pesaing Demokrat Trump menyuarakan kemarahan terhadap penglibatan terbuka syarikat minyak, menyifatkannya sebagai kebangkitan semula imperialisme dalam bentuk paling keterlaluan.
“AS tidak sepatutnya mentadbir negara lain atas apa jua alasan,” kata Senator Demokrat Brian Schatz.
“Kita sepatutnya sudah belajar untuk tidak terlibat dalam peperangan tanpa kesudahan dan misi pertukaran rejim yang membawa akibat buruk kepada rakyat Amerika.” - AFP
Ringkasan AI
- Selepas AS menahan pemimpin Venezuela, Trump mengatakan pentadbiran AS akan mengurus negara itu
- Trump merancang AS akan meraih keuntungan dari minyak Venezuela dan menyatakan Venezuela akan dipimpin oleh orang-orang yang mendukungnya termasuk Marco Rubio
- Menurut Trump, Venezuela untuk sementara waktu akan dipimpin oleh AS hingga peralihan yang selamat dapat dilakukan
- Komuniti antarabangsa melihat Edmundo Gonzalez Urrutia sebagai pemenang sah pilihan raya 2024, bukan kepimpinan sementara yang diusulkan AS
- Maduro dan Chavez telah lama menentang AS, mengecam imperialisme Amerika sambil menerapkan ekonomi sosialis yang akhirnya gagal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
