Polis kesan pemilik kenderaan Singapura tutup sebahagian plat, isi RON95

Tular foto pemandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura menutup sebahagian nombor plat kenderaan untuk mengisi RON95. - Gambar kecil (Seng Lee)
Tular foto pemandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura menutup sebahagian nombor plat kenderaan untuk mengisi RON95. - Gambar kecil (Seng Lee)
A
A
A

KULAI – Polis masih mengesan individu atau pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan menutup huruf pertama dan nombor terakhir pada plat pendaftaran kenderaan ketika mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu atau pemilik kenderaan asing berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Menurutnya, semakan mendapati Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan pemilik kenderaan itu memandangkan ia menggunakan nombor pendaftaran Singapura.

“Buat masa ini, polis masih menjalankan usaha mengesan pemilik kenderaan terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pihak polis dengan segera bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi satu minit 30 saat yang memaparkan seorang individu merakam perbuatan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipercayai cuba mengisi petrol RON95.

Pemilik video berkenaan mendakwa perbuatan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran tersebut dipercayai merupakan taktik baharu bagi mengaburi pihak berkuasa agar kenderaan asing terbabit kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Rakaman itu turut memaparkan individu terbabit menafikan mereka warga Singapura, sebaliknya mendakwa sebagai rakyat tempatan, sebelum dilihat tergesa-gesa meninggalkan lokasi selepas ditegur.

Pada Sabtu, Seng Lee dilaporkan berkata, polis akan mengeluarkan saman sekiranya didapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, tindakan kes telah diambil terhadap pengusaha stesen minyak terbabit kerana disyaki melanggar Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengusaha stesen minyak itu disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan berhubung larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing.

Ringkasan AI

  • Polis Kulai mencari pemilik kenderaan Singapura yang tutup nombor plat saat isi petrol RON95
  • Kerjasama orang ramai diminta untuk siasatan
  • Tiada rekod di JPJ kerana plat Singapura
  • Viral video taktik pengaburan identiti untuk beli petrol subsidi
  • Siasatan terhadap pengusaha stesen minyak atas pelanggaran peraturan jualan petrol RON95 kepada asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!