Konflik global bayangi 2026, Gaza terus jadi 'makmal kematian'

KUALA TERENGGANU – Permulaan tahun baharu 2026 dilihat dalam suasana suram susulan konflik dan peperangan berpanjangan di pelbagai rantau dunia yang terus mencabar keamanan global serta nilai kemanusiaan sejagat.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kebanyakan masyarakat dunia kini berdepan masa depan tidak menentu.
Menurut beliau, pergolakan di Timur Tengah, Afrika, Eropah termasuk perang Ukraine dan pendirian ekonomi serta ketenteraan Amerika Syarikat yang agresif terus mencetuskan keresahan.
'Konflik paling ketara dan tidak seimbang melibatkan serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza melambangkan ketidakadilan besar dunia apabila kekuatan ketenteraan yang disokong kuasa Barat digunakan terhadap penduduk awam yang tertindas.
"Sejarah pasti akan merekodkan tragedi Gaza sebagai antara pembunuhan paling kejam terhadap sesuatu kumpulan etnik ketika dunia seolah-olah memalingkan muka, walaupun imej kematian rakyat Palestin disiarkan setiap hari melalui media global," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, negara-negara Barat yang kaya dan berkuasa disifatkan bersikap hipokrit apabila sekadar memberi janji berkaitan pengiktirafan sebuah negara Palestin.
Namun katanya, dalam masa sama membenarkan Gaza dan Tebing Barat dimusnahkan menggunakan senjata dan sokongan kewangan dari Barat serta Amerika Syarikat.
Tambah Raja Bahrin, tragedi di Gaza turut dieksploitasi secara tidak bermoral sebagai alat pemasaran senjata buatan Israel dengan dakwaan kononnya 'terbukti berkesan di medan perang', sekali gus meningkatkan penjualan senjata ke negara-negara Eropah.
Menurutnya, pembelian senjata buatan Israel oleh negara-negara Eropah meningkat sejak 2024 dengan nilai mencecah AS$15 bilion, menjadikan rantau itu pembeli terbesar senjata Israel diikuti India.
Beliau turut memetik pandangan pakar senjata Israel yang berpangkalan di Jerman, Shir Hever yang mendakwa lebih 80,000 tan bom telah dijatuhkan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 70,000 rakyat Palestin.
"Nyawa manusia termasuk wanita dan kanak-kanak dijadikan 'makmal kematian' bagi membuktikan keberkesanan senjata. Ini mencerminkan hipokrasi dunia moden yang sukar dimaafkan.
"Lebih menyedihkan 37 lagi pertubuhan sukarelawan telah diharamkan oleh Israel daripada membekalkan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza pada musim sejuk dan hujan ketika ini," katanya.
Tegas beliau, tiada agama yang membenarkan sikap berdiam diri terhadap kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai
"Saya sukar mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan saya apabila tahun yang akan datang adalah suram dan penuh kekejaman.
"Tiada agama yang merestui bersikap tidak peduli terhadap kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai. Jika kita terus berdiam diri, kita turut bersubahat dalam tragedi yang sedang berlaku ini," ujarnya.
Ringkasan AI
- Tahun baharu 2026 bermula dalam suasana suram susulan konflik berpanjangan di pelbagai rantau dunia
- Konflik di Gaza melambangkan ketidakadilan besar dunia dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin
- Negara-negara Barat hipokrit dalam sikap mereka terhadap pembunuhan di Gaza dan sokongan senjata ke Israel
- Pembelian senjata dari Israel oleh negara-negara Eropah meningkat, menjadikannya pembeli terbesar senjata Israel
- Tiada agama yang membenarkan sikap berdiam diri terhadap kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
