Tak sangka anak 'pilih' tahun baharu

KUANTAN – Seorang suri rumah tidak menyangka cahaya mata keduanya ‘memilih’ tanggal tahun baharu apabila dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) awal pagi Khamis.
Nurul Aisyah Syafiqah Mahari, 28, berkata, mengikut jangkaan dia sepatutnya bersalin pada 29 Disember lalu, namun bayi lelakinya dilahirkan dua hari kemudian.
“Saya masuk bilik bersalin pada jam 2 petang, tetapi tidak menyangka anak saya keluar pada jam 12.40 tengah malam.
“Dia (anak) ‘memilih’ 1 Januari untuk dilahirkan dengan izin Allah dan ini memang detik yang sangat istimewa,” katanya ketika ditemui di wad bersalin HTAA di sini, Khamis.

Nurul Aisyah Syafiqah antara tujuh ibu yang melahirkan bayi tahun baharu di Pahang.
Mereka diraikan dan menerima barangan kelengkapan bayi yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dr Jafanita Jamaludin.
Zawiah Husin, 39, pula bersyukur kerana anak kelimanya lahir tepat mengikut tarikh jangkaan bersalin hari ini.
“Saya sebenarnya tidak sangka kerana mula berasa sakit selepas waktu Maghrib malam tadi (Rabu).
“Alhamdulillah, rezeki kerana melahirkan anak perempuan secara normal dan sihat,” jelas suri rumah itu.
Bagi Manisah Osman, 38, pula mengakui gembira kerana dihargai pengurusan HTAA yang meraikan ibu yang melahirkan anak pada tahun baharu.
“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan saya melahirkan anak lelaki yang juga anak keempat pada jam 2.50 pagi,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir.
Sementara itu, Pengarah JKN Pahang, Dr Saiful Azlan Sharif memaklumkan, tujuh bayi dilahirkan sempena tahun baharu di hospital seluruh negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, empat bayi perempuan dan selebihnya lelaki dilahirkan antara jam 12 tengah malam hingga 8 pagi.
Katanya, kesemua bayi dilahirkan secara normal, sihat dan dilaporkan stabil.
“Bayi tahun baharu pertama dilahirkan di HTAA di sini pada jam 12.20 pagi, iaitu bayi perempuan seberat 3.075 kilogram.
“Setakat jam 8 pagi, HTAA mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu empat bayi, diikuti dua bayi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan seorang di Hospital Bentong,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka hari ini.
“Semoga kelahiran bayi tahun baharu 2026 membawa kegembiraan dan seribu satu makna dalam kehidupan mereka,” katanya.
Ringkasan AI
- Suri rumah tidak menyangka anak keduanya dilahirkan pada tanggal tahun baru di Hospital Tengku Ampuan Afzan
- Bayi lelaki itu dilahirkan dua hari lewat dari tarikh jangkaan yang sepatutnya pada 29 Disember
- Nurul Aisyah Syafiqah antara tujuh ibu yang melahirkan bayi tahun baru di Pahang
- Tujuh bayi dilahirkan sempena tahun baru di hospital seluruh negeri Pahang, termasuk empat perempuan dan tiga lelaki
- Kesemua bayi tahun baru dilahirkan secara normal, sihat dan dilaporkan stabil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

