Letak jawatan menteri sebab akar umbi, sistem PKR 'memangsakan' orang bawah - Rafizi

Rafizi ketika bercakap dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 28.
Rafizi ketika bercakap dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 28.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa peletakan jawatan beliau sebagai menteri ekonomi disebabkan sistem parti yang mempertahankan kepimpinan atasan sehingga menjejaskan kepentingan akar umbi.

Rafizi berkata, beliau tidak boleh menyokong keputusan dan sistem yang 'menyelamatkan' orang atas tetapi 'memangsakan' orang bawah.

"Saya letak jawatan sebab akar umbi. Kalau saya kekal Timbalan Presiden tanpa bertanding, kekal menteri, sedangkan soalan yang saya tanya tak pernah dijawab.

"Saya dah cuba lawan dari dalam. Tanya, tekan, sampai kena marah pun jawapan tetap tak ada," katanya ketika bercakap dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 28.

Sebelum ini, Rafizi menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 17 Jun depan.

Kekalahannya dalam pemilihan PKR menunjukkan beliau tidak lagi memiliki mandat daripada parti untuk menerjemahkan agenda rakyat ke dalam program kerajaan.

Dalam pada itu, Rafizi berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mempunyai 'masalah' dengan individu yang mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan akar umbi.

Jelasnya, ini dapat dilihat apabila Anwar secara terbuka berkempen mahukan Saifuddin menjadi timbalan presiden pada pemilihan parti 2022.

"Jadi bila kami menang besar dia rasa itu tamparan peribadi. Dia rasa apa yang berlaku pada 2022 itu belum tamat kerana parti PKR ini wujud untuk dia.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dimahukan 'total control off the party', jadi saya ingat itu sikap saki baki dalam UMNO. Dia nak keseluruhan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu tidak sekepala dengan saya, maksudnya saya tidak boleh bersuara," ujarnya.

Tambah Rafizi, pada hujung tahun 2024, Anwar bukan lagi memberi tumpuan untuk menyakinkan rakyat namun lebih kepada untuk memperkemaskan parti kerana merasakan kedudukannya dalam kerajaan lebih selamat.

"Saya ingat Anwar terlalu yakin bila kita masuk akhir 2024 berbanding tahun pertama. Jadi masa itu dia nak selesaikan soal dalam parti dan kehendaknya adalah tiada pandangan berbeza.

"Saya ingat pelan awalnya begini, saya kekal jadi timbalan presiden tanpa dicabar dan kekal menteri tapi tidak boleh bersuara. Penguasaan sepenuhnya dan susun struktur supaya akar umbi tak boleh bersuara.

"Kalau parti nak stabil, stabil dengan jawapan dan keadilan, bukan dengan senyap," jelasnya.

Ringkasan AI

  • Rafizi Ramli letak jawatan menteri ekonomi kerana sistem parti PKR mempertahankan kepimpinan atasan yang menjejaskan akar umbi
  • Beliau percaya keputusan dan sistem yang menyelamatkan orang atas tetapi memangsakan orang bawah tidak boleh disokong
  • Kekalahannya dalam pemilihan PKR menunjukkan tiada lagi mandat parti untuk menerjemahkan agenda rakyat
  • Rafizi mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai masalah dengan individu berpengaruh dalam kalangan akar umbi
  • Anwar dikatakan menginginkan kontrol total ke atas parti dan struktur yang menghalang suara akar umbi daripada didengar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!