Dr Sahruddin umum letak jawatan Pengerusi PN Johor

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu memaklumkan perkara berkenaan dalam hantaran terbaharu Facebook miliknya.
Dr Sahruddin ketika dihubungi memaklumkan tindakan itu dibuat susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
"Hilang jawatan MB (Menteri Besar) pun saya, letak jawatan Pengerusi PN lagilah saya suka," tulisnya.
Dalam pada itu ketika dihubungi, Dr Sahruddin menafikan berlaku pergolakan dalam PN Johor sehingga menyebabkan dirinya meletakkan jawatan.
"PN Johor ok, tiada pergolakan. PN Johor sangat bagus. Kita baru mesyuarat dua minggu lepas dan ia berjalan baik. Peletakan jawatan ini tiada kena mengena dengan Johor.
"Bagi saya mudah sahaja, bila pimpinan pusat letak jawatan, saya dilantik oleh Tan Sri (Muhyiddin). Bila beliau letak jawatan, saya pun letak (jawatan PN Johor). Jadi saya minta pimpinan Perikatan Nasional (PN) lantik Pengerusi PN baharu di Johor.
"Keputusan ini menyusul keputusan Tan Sri (Muhyiddin). Di Parlimen Pagoh dan Bersatu Johor tiada perubahan," katanya.
Dr Sahruddin dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Johor berkuatkuasa pada Jun 2022.
Ringkasan AI
- Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Johor
- Peletakan jawatan dibuat susulan peletakkan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Dr Sahruddin menafikan berlaku pergolakan dalam PN Johor sebagai sebab peletakan jawatan
- Peletakan jawatan sebagai tindak balas kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin
- Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor pada Jun 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

